Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
KUALA LUMPUR - Kejayaan Lions XII menjulang
kejuaraan Liga Super bukan sahaja akan diingati oleh peminat bola sepak
tanah air sebagai pasukan jemputan pertama meraih trofi berkenaan sejak
diperkenalkan pada tahun 2004, malah layanan kelas pertama diberikan
oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kepada Persatuan Bola Sepak
Singapura (FAS).
Jika dibandingkan dengan apa yang dinikmati oleh juara tahun lalu,
Kelantan, jelas seolah-olah terdapat perbezaan antara dua darjat dengan
Lions XII berpeluang menjulang trofi berkenaan dan menerima cek di
hadapan penyokong sendiri di Stadium Jalan Besar sebaik sahaja
mengesahkan kejuaraan menewaskan Felda United 4-0.
Sedangkan Kelantan yang mengesahkan kejuaraan Liga Super dua
perlawanan lebih awal musim lalu tidak diberikan kesempatan yang sama
oleh FAM apabila disuruh hadir ke Wisma FAM bagi upacara penyerahan
trofi berkenaan dan penerimaan cek selepas jadual liga berakhir
sehinggakan tidak berpeluang menjulang trofi di hadapan penyokong
sendiri pada mulanya.
Perkara itu bagaimanapun selesai apabila rayuan Persatuan Bola Sepak
Kelantan (KAFA) supaya majlis penyerahan trofi itu diadakan di Stadium
Sultan Muhammad IV pada perlawanan terakhir Liga Super diterima oleh
FAM, namun tidak dihadiri mana-mana pemimpin tertinggi FAM.
Namun, pada perlawanan semalam, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak
Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin telah hadir sendiri di Stadium
Jalan Besar, untuk menyerahkan trofi Liga Super dan cek kepada Lions
XII kepada Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong.
Situasi yang terjadi itu jelas mengundang satu persoalan besar
mengapa perkara itu boleh terjadi dan menambahkan lagi kekecewaan para
penyokong bola sepak tempatan selepas menyaksikan melihat trofi dari
liga sendiri terlepas ke tangan orang luar.
Menjelaskan persoalan itu, Hamidin yang dihubungi Utusan Malaysia
berkata, mulai tahun lalu FAM sebenarnya telah mengubah pendekatan itu
dan tiada lagi majlis penyerahan trofi di Wisma FAM selepas Kelantan
berpeluang menjulang trofi Liga Super di hadapan penyokong sendiri
sambil menolak tuduhan adanya layanan istimewa diberikan kepada Lions
XII.
"Sekarang di FAM kami telah mengamalkan konsep baharu dengan setiap
pemenang akan terus diberikan trofi seperti mana yang kita lakukan di
Singapura, semalam dan bukannya ada layanan khas kepada Lions XII.
"Memang kami telah bersedia sekiranya Lions XII menang, kami akan
terus berikan kepada mereka dan saya harap isu ini tidak perlu
diperbesarkan, perkara sama juga berlaku jika pasukan lain yang menang, "
katanya
Musim lalu, Kelantan memenangi kejuaraan Liga Super selepas
mengalahkan Perak 6-0 pada 6 Julai tetapi FAM memberitahu majlis
pemberian hadiah kemenangan akan diadakan pada 20 Julai.
Perkara itu ternyata menimbulkan perasaan kurang penyokong Kelantan
sebelum FAM berlembut hati dengan membenarkan majlis pemberian trofi itu
diadakan di Stadium Sultan Muhammad IV pada perlawanan menentang
Sarawak pada 14 Julai, iaitu aksi terakhir Liga Super 2012.
Tambah Hamidin, FAM telah mengubah pendekatan ini kerana telah
memikirkan lebih meriah jika majlis pemberian trofi diadakan di hadapan
penyokong sendiri.
"Perkara ini telah difikirkan sejak tahun lalu apabila Kelantan
berpeluang menjulang trofi di hadapan penyokong sendiri dan ia
diteruskan lagi pada tahun ini.
"Memang tidak meriah tanpa kehadiran penyokong sendiri dan sebab
itulah kami tidak adakan lagi di Wisma FAM seperti mana sebelum ini
sebaliknya memberikan terus di tempat mereka bermain," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan