JOHOR BAHRU - Kejayaan juara Liga Super musim 2013, Lions XII kelmarin merupakan tamparan hebat buat pasukan tempatan yang lebih mengutamakan pemain bertaraf bintang untuk bersaing pada edisi kali ini.
Sedangkan pasukan negara republik itu hanya meletakkan harapan kepada
para pemain tempatan berusia di bawah 23 tahun bagi menggalas cabaran
untuk berhadapan pasukan-pasukan berpengalaman dari Malaysia.
Ternyata strategi V. Sundramoorthy membuahkan hasil apabila pasukan
yang dikendalikannya berjaya mengekalkan rentak konsisten sepanjang
musim ini.
Tanpa tonggak import, Sundramoorthy memberitahu, skuad yang dibarisi anak-anak muda tempatan itu berjaya bergelar juara.
Malah, mereka dikatakan jauh lebih baik berbanding pasukan Singapura pada tahun 1994.
"Berbanding pasukan lain, pasukan ini tidak meletakkan harapan kepada
beberapa pemain utama sebaliknya ia dibarisi para pemain muda untuk
menggalas setiap cabaran. Sekiranya berlaku kecederaan kita tidak
mempunyai sebarang masalah untuk menurunkan pemain muda yang baharu.
"Kebanyakan pasukan tempatan lain, mereka banyak bergantung kepada
dua atau tiga pemain utama dan sekiranya berlaku kecederaan mereka
mengalami masalah untuk meneruskan cabaran dan menyebabkan mereka
tercicir mata kerana tiada pemain mampu menggantikan pemain utama,"
katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan.
Dalam aksi di Stadium Jalan Besar, kelmarin Lions XII membelasah Felda United 4-0 untuk mengesahkan kejuaraan Liga Super.
Mengulas mengenai pertemuan terakhir Liga Super menentang Kelantan di
Kota Bharu, Sabtu ini, beliau memberitahu, beberapa pemain akan
direhatkan pada pertemuan itu dan akan membariskan para pemain muda.
Sementara itu, pada saingan Piala Malaysia musim ini, beliau berharap
pasukan Lions XII akan diundi bersama pasukan yang lebih mudah bagi
membolehkan mereka mara lebih jauh dalam saingan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan