KAZAN, Rusia - Harimau Muda A membuat kejutan apabila meraih kemenangan pertama menundukkan Itali 2-0 pada perlawanan pertama peringkat kumpulan di temasya Sukan Universiti Dunia (Universiade) ke-27, di sini, kelmarin.
Walaupun Itali dibarisi tujuh pemain yang beraksi pada kejohanan Euro
Bawah 21 tahun di Israel baru-baru ini, ia tidak menggentarkan semangat
pemain Harimau Muda yang berjaya memecahkan kebuntuan gol melalui
A.Thamil Arasu pada minit ke-20 selepas bijak melepasi dua pemain
pertahanan lawan sebelum meledak masuk bagi meletakkan Malaysia di
hadapan.
Pada babak kedua perlawanan, lima pemain negara dilayangkan kad
kuning, yang menambah ketegangan kedua-dua pasukan sehingga kad merah
pertama dilayang kepada pemain Itali, Andrea Settembrini kerana
mengasari pemain negara D. Saarvindran pada minit ke-67.
Tujuh minit kemudian skuad negara dikejutkan dengan tindakan pengadil
melayangkan kad merah kepada penjaga gol utama negara, Mohd. Izham
Tarmizi Roslan kerana menarik pemain lawan ketika mahu menyelamatkan
bola dalam kotak penalti.
Pengendali Harimau Muda, Ong Kim Swee terpaksa mengeluarkan Ahmad
Hazwan Bakri dengan memasukkan penjaga gol kedua, Mohd. Farhan Abu Bakar
bagi menggantikan Moh.d Izham.
Kemasukan Mohd. Farhan nyata tidak mengecewakan apabila menyelamatkan
gawang pintu gol negara daripada dibolosi sepakan penalti pemain Itali,
Manuel Ricci.
Lima minit kemudian skuad negara sekali lagi menerima cabaran hebat
apabila pemain mereka, Syahrul Azwari Ibrahim dilayangkan kad merah
kedua pada minit ke-78, yang menghadiahkan sepakan penalti buat lawan.
Mohd. Farhan sekali lagi bertindak cemerlang menafikan sepakan pemain Itali, Andrea Burato.
Meskipun terpaksa beraksi dengan sembilan pemain, benteng pertahanan
skuad negara tetap kukuh apabila menggagalkan beberapa peluang percubaan
lawan membuat jaringan.
Pasukan Itali yang berkelebihan seorang pemain menjadi lebih tertekan
untuk mencari gol penyamaan dengan bertindak mengasari pemain lincah
negara Wan Zaharulnizam Wan Zakaria di hadapan pintu gol mereka sekali
gus menghadiahkan sepakan penalti buat skuad negara yang disempurnakan
Saarvindran pada minit ke-86 untuk gol bagi Malaysia.
Malaysia disenaraikan dalam kumpulan C bersama Itali, Great Britain dan Algeria.
Perlawanan kedua menentang Great Britain dijadual berlangsung Isnin ini (8 Julai).
Sementara itu, jurulatih Harimau Muda A, Ong Kim Swee kagum dengan
semangat juang dipamerkan oleh anak-anak buahnya walaupun beraksi dengan
10 pemain sambil mengingatkan perjuangan sebenar baru sahaja bermula.
"Pemain menunjukkan semangat juang yang cukup tinggi dan mengekalkan
disiplin sehingga wisel penamat tetapi kita tak boleh cepat lupa diri
kerana kita perlu memastikan layak terlebih dahulu ke pusingan
seterusnya.
"Berdepan Great Britain pada aksi seterusnya, kita terpaksa
menggunakan pemain yang ada dan kita tiada pilihan lain, cuma saya
harapkan pemain dapat lebih berwaspada dan tidak mengutip sebarang kad
lagi.
"Corak bertahan sentiasa akan menjadi tumpuan saya tetapi pada masa
yang sama kita perlu bijak mengatur serangan balas untuk memerangkap
lawan, " katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan