Oleh FERZALFIE FAUZI
KUALA LUMPUR - Apakah hari ini gelaran Liga Super
2013 akan menjadi milik Lions XII yang melayan kunjungan pasukan kedua
tercorot Felda United di Stadium Jalan Besar, Singapura?
Andai Lions XII menang dalam perlawanan kedua terakhir liga hari ini,
bermakna Selangor dan Johor Darul Takzim (Johor DT) boleh mengucapkan
selamat tinggal kepada trofi Liga Super.
Melainkan Felda mampu mencipta keajaiban di Jalan Besar, segala-galanya akan kembali berubah.
Setakat ini, Lions XII berada di puncak liga dengan 40 mata dan masih
lagi mengekalkan rekod tanpa kalah di gelanggang keramat mereka,
melainkan seri menentang Johor DT pada 21 Jun lalu.
Selangor pula berkongsi 36 mata dengan Johor DT, dan pasukan
bimbingan Irfan Bakti Abu Salim itu memiliki kelebihan bolos paling
sedikit.
Jika dilihat dari segi kedudukan liga, tidak ada masalah buat Lions
XII untuk memungut mata penuh seterusnya dinobatkan sebagai juara liga,
namun Felda United sudah pasti tidak mahu kekal di tangga kedua tercorot
yang akan menyebabkan mereka terhumban ke Liga Perdana musim depan.
Selasa lepas, Felda telah menunjukkan sedikit usaha untuk terus kekal
di Liga Super selepas berjaya mengikat Johor DT 1-1, jadi perkara yang
sama juga boleh berlaku di Stadium Jalan Besar hari ini, yang akan
mengheret penentuan juara liga dibawa pada perlawanan terakhir, Sabtu
ini.
Selangor bukan sahaja mahu menduduki tempat kedua liga yang
membolehkan mereka beraksi di Piala AFC musim depan, mereka sudah tentu
mempunyai cita-cita lebih besar dan menghalang trofi Liga Super terlepas
ke pasukan jemputan.
"Saya seorang yang percaya kepada keajaiban. Orang nampak Lions XII
sangat kuat dan mustahil untuk dikalahkan, tetapi saya rasa tidak
mustahil Felda boleh buat kejutan kerana mereka sangat terdesak sekarang
dan mahu mengelak daripada tersingkir dari Liga Super musim depan.
Lagipun, Lions XII pasti lebih tertekan kerana mereka begitu
menginginkan kemenangan.
"Bagi Selangor, saya tidak mahu pemain turun ke padang dengan terlalu
memikirkan apa yang akan terjadi dalam satu lagi pertarungan di Jalan
Besar, sebaliknya saya mahu mereka turun dengan memikirkan kita ada dua
lagi misi penting untuk diharungi, menentang T-Team dan kemudian Johor
DT. Kita harus menang kedua-dua perlawanan kerana kalau tidak muncul
juara sekalipun, sekurang-kurangnya kita kena duduk nombor dua.
"Tahun lalu kita sekadar menghuni tangga ketiga, jadi sudah tentu
kita kena memperbaiki kedudukan itu dan berada di tempat yang lebih
baik," kata Irfan yang turut tidak dapat menggunakan Mohd. Bunyamin Umar
and S. Veenod akibat dibelenggu kecederaan.
Sementara itu, Johor DT harus melupakan kekecewaan tewas kepada
Kelantan dalam perlawanan akhir Piala FA Sabtu lalu, mereka harus
pandang ke depan dan berharap dapat menewaskan pasukan tangga tercorot
Negeri Sembilan yang sudah tersingkir ke Liga Perdana musim depan.
Menurut penolong jurulatih Johor DT, Ismail Ibrahim, baki dua
perlawanan Liga Super sangat penting buat mereka sekarang, sasaran
mereka adalah mampu berada di kedudukan terbaik liga untuk melayakkan
diri ke Piala AFC 2014
"Kami berharap dua lagi perlawanan Liga Super (termasuk hari ini)
dapat berakhir dengan kemenangan dan pemain perlu memberi tumpuan
sepenuhnya," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan