|
LONDON - Pemain No. 2 dunia, Andy Murray mempamer kebangkitan
dramatik untuk menewaskan Fernando Verdasco pada aksi suku akhir
Kejohanan Tenis Wimbledon kelmarin.
Murray menewaskan pemain ranking ke-54 dunia dari Sepanyol itu 4-6,
3-6, 6-1, 6-4, 7-5 dalam satu pertarungan yang mendebarkan selama hampir
tiga jam setengah, sekali gus mencerahkan peluang menjadi pemain
pertama Britain muncul juara sejak 1936.
Pemain pilihan kedua tersebut dijadualkan berdepan pemain Poland,
Jerzy Janowicz pada separuh akhir hari ini selepas pemain pilihan ke-24
itu menumpaskan rakan senegara, Lukasz Kubot straight set 7-5, 6-4, 6-4.
"Saya berjaya mengharungi satu perlawanan yang sangat mencabar.
Keputusan boleh menjadi sebaliknya. Saya dapat mencari jalan melepasinya
dan itu sahaja yang diperlukan.
"Saya mula bermain dengan baik dan tidak terburu-buru apabila mendapat peluang.
"Pada penghujung permainan, suasana di sini sangat menakjubkan.
Sesuatu yang hebat apabila berjaya melepasi halangan ini," kata Murray
selaku juara Terbuka Amerika Syarikat dan Olimpik.
Selepas pencabar terdekat, Roger Federer, Rafael Nadal dan
Jo-Wilfried Tsonga tersingkir awal daripada kejohanan Grand Slam di
gelanggang rumput itu, para peminat dan media Britain meletakkan harapan
yang besar kepada pemain berusia 26 tahun itu.
"Saya mengetahui betapa hebatnya pemain ini (Verdasco) meskipun ramai
yang berkata dia tidaklah sehebat mana," kata Murray yang menganggap
Verdasco sebagai pemain yang sangat berbahaya.
Pertarungan itu turut mendebarkan hati lebih daripada 15,000 penonton
yang memenuhi gelanggang utama Kelab Seluruh England itu. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan