Oleh RADIAH SAORI
|
IMPIAN Malaysia untuk melayakkan diri ke Piala Dunia 2014 menerusi ‘tiket’ Liga Hoki Dunia tidak kesampaian.
Pada aksi suku akhir di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru semalam,
Malaysia terpaksa akur dengan kehebatan pasukan No. 1 dunia, Jerman
apabila tewas 0-6.
Dengan kekalahan itu, hasrat Malaysia untuk menduduki kelompok tiga
terbaik pada kejohanan tersebut, sekali gus layak secara automatik
beraksi pada Piala Dunia 2014 di The Hague, Belanda musnah.
Kini Malaysia perlu menunggu sehingga kempen Piala Asia di Ipoh Ogos
depan bagi mencongak peluang terakhir memburu tiket Piala Dunia 2014.
Bagaimanapun, ia bukan satu tugas mudah kerana skuad kendalian Paul
Revington itu harus muncul juara Piala Asia bagi mengesahkan slot ke
Belanda.
Pada aksi semalam, Jerman menguasai hampir keseluruhan permainan
sementara Malaysia kelihatan lemah terutama di bahagian pertahanan.
Akibatnya, gawang Malaysia dibolosi enam gol sepanjang babak pertama.
Christopher Zeller meledak gol pembukaan Jerman menerusi pukulan sudut penalti seawal minit kelima.
Linus Butt menghadiahkan gol kedua Jerman, juga menerusi pukulan
sudut penalti pada minit kelapan sebelum Mopritz Polk menambah gol
ketiga hasil jaringan padang berselang dua minit kemudian.
Jerman terus berpesta gol apabila menambah tiga lagi jaringan dalam
tempoh enam minit melalui Zeller pada minit ke-12 serta dua jaringan
padang oleh Moritz Furste (16) dan Thilo Stralkowski (18).
Sebaik babak kedua bermula, permainan Malaysia tampak lebih baik,
namun belum mampu memperoleh gol sehingga wisel penamat dibunyikan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan