Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
KUALA LUMPUR - Bukan kerana tidak boleh menerima
hakikat, namun kelebihan beraksi di atas padang tiruan di Stadium Jalan
Besar jelas menjadi faktor paling ketara membantu Lions XII.
Menjuarai Liga Super musim ini dengan 31 mata dikutip di gelanggang
sendiri daripada jumlah 43 mata sudah cukup menceritakan segala-galanya.
Pandangan ini turut dipersetujui tiga jurulatih dalam saingan Liga Super, B. Sathianathan
(Angkatan Tentera Malaysia), Mohd. Azraai Khor Abdullah (Perak) dan
Dollah Salleh (Pahang) yang melihat Lions XII terlalu kebal atas padang
tiruan.
Bola yang terlalu laju dan keengganan tuan rumah memberikan ruang
kepada lawan menguji satu hari lebih awal permukaan padang di stadium
mereka menjadi antara persoalan besar mengapa Jalan Besar menjadi lubuk
mata buat Lions XII.
Menurut Sathianathan, yang menyaksikan pasukan bimbingannya kecundang
1-3 kepada Lions XII pada 20 April lalu berkata, walaupun mereka ada
mengadakan latihan di padang tiruan dekat Majlis Sukan Negara (MSN), ia
masih tidak mencukupi kerana permukaannya yang berbeza.
''Pertama kali, saya hendak memberitahu bukan mudah untuk beraksi di
atas padang tiruan sedangkan 21 perlawanan yang lain, kami bermain di
atas padang rumput dan jika ada orang berkata padang tiruan memberikan
kelebihan besar kepada Lions untuk muncul juara, saya memang bersetuju.
''Tidak banyak tempoh persiapan dapat dilakukan dalam tempoh beberapa
hari bagi tujuan penyesuaian malahan permukaan padang tiruan yang ada
di padang Majlis Sukan Negara sebenarnya tidak sama seperti mana di
Jalan Besar.
''Semasa di sana, kami tidak diberi peluang menguji Stadium Jalan
Besar sehari sebelum perlawanan kerana ada perlawanan Liga Singapura
(S-League) dan itu memang tidak adil kerana tahap permainan di atas
padang tiruan ternyata berbeza sama sekali terutama dalam aspek
pergerakan bola," katanya.
Sementara itu, Dollah berkata, Lions XII sebenarnya bergelut
apabila beraksi di padang rumput di tempat lawan dengan dua kemenangan
sahaja yang mampu dikutip membuktikan mereka hanya gah semasa di kandang
sendiri.
''Memang betul, (padang tiruan beri kelebihan), lawan yang bermain di
sana benar-benar bergelut kerana daripada segi teknikal, pemain yang
jarang-jarang beraksi di atas padang tiruan sukar membuat menduga
kelajuan bola.
''Lihatlah sendiri pemain sayap saya, R. Gopinathan yang mempunyai
daya kawalan bola yang baik, namun apabila menerima hantaran daripada
rakan sepasukan pasti dia akan hilang kawalan sama ada bola akan
dirampas lawan atau terkeluar dari kawasan permainan.
''Persoalan saya mengapa mereka tidak boleh bermain di atas padang
rumput seperti mana pasukan-pasukan lain dalam saingan Liga Super,
kelebihan yang dimiliki mereka terlalu ketara," katanya.
Bagi Azraai, mereka hanya diberikan peluang berlatih di padang
latihan terletak di Bukit Timah dan para pemainnya diakui sukar
menyesuaikan diri dengan cara permainan di atas padang tiruan.
''Lions XII memang beruntung beraksi di atas gelanggang tiruan kerana
kebanyakan pasukan lain jelas tidak memperagakan aksi sebenar apabila
bertandang ke sana termasuk pasukan saya sendiri.
''Kita lihatlah sendiri bagaimana kawalan bola pemain-pemain Lions
yang cukup selesa dan memudahkan mereka meraih kemenangan apabila
bertemu lawan yang tidak biasa bermain di gelanggang tiruan.
''Jika musim depan dibiarkan mereka beraksi di atas padang yang sama,
saya tidak fikir mana-mana pasukan mampu merampas kejuaraan daripada
mereka dalam saingan Liga Super," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan