Oleh NURUL HUDA HASSAN
JOHOR BAHRU - Penyerang Johor Darul Takzim, Norshahrul Idlan Talaha
menafikan yang dia bertindak membuang pingat yang diterimanya selaku
naib juara Piala FA selepas perlawanan tersebut Sabtu lalu.
Sebaliknya, pemain yang turut dikenali sebagai Mat Yo itu memberikan
pingat berkenaan kepada salah seorang pegawai Persatuan Bola Sepak
Negeri Johor (PBNJ) selepas pasukannya kalah 1-0 kepada Kelantan.
Pada masa sama, pemain itu juga mengakui bahawa dia sememangnya
kecewa dan sedih ekoran kekalahan pasukannya pada aksi perlawanan akhir
yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.
"Saya memberikannya kepada seorang pegawai PBNJ. Saya memang kecewa kerana gagal membantu pasukan meraih kemenangan.
"Sememangnya saya ingin melihat pasukan menang dan mahu ia menjadi
hadiah buat Presiden PBNJ, Tunku Ismail Sultan Ibrahim," katanya ketika
ditemui pemberita selepas menjalani latihan di padang Sri Gelam di sini
semalam.
Sebuah akhbar sebelum ini mendakwa, bekas pemain Kelantan itu
bertindak membuang pingat diterimanya ke dalam tong sampah sebelum masuk
ke bilik persalinan selepas perlawanan akhir Piala FA, Sabtu lalu
sebagai kemuncak kekecewaannya.
Tonggak utama Johor Darul Takzim itu didakwa bertindak begitu kerana
terlalu sedih dan kecewa selepas bermain bermati-matian sepanjang 90
minit perlawanan yang menyaksikan Johor Darul Takzim tewas.
Dalam pada itu, bagi mengubat kekecewaannya dan pasukan, Norshahrul
berjanji akan memberikan aksi terbaik pada pertemuan terakhir Liga Super
menentang Selangor di Stadium Tan Sri Hassan Yunos di sini, esok.
Dia yang sedar perlawanan Sabtu ini penting ekoran kedua-dua pasukan
mahu merebut tiket untuk beraksi di Piala AFC akan memastikan skuad
Harimau Selatan mampu meraih kemenangan pada perlawanan tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan