BERLIN - Gara-gara sukar menyesuaikan diri dengan
sistem baharu Pep Guardiola, Bayern Munich dikerah sebelum menang 4-0
ke atas kelab Divisyen Tiga Jerman, Hansa Rostock dalam aksi
persahabatan semalam.
Bayern yang menewaskan Borussia Dortmund 2-1 di Wembley pada
perlawanan akhir Liga Juara-Juara Mei lalu lebih selesa menggunakan
formasi 4-2-3-1 ketika di bawah bekas jurulatih Jupp Heynckes.
Bagaimanapun, apabila bekas jurulatih Barcelona, Guardiola mengambil
alih tugas Heynckes bulan lalu, formasi lama tidak digunakan lagi
sebaliknya memperkenalkan formasi 4-1-4-1.
Formasi baharu tersebut menyebabkan kelab gergasi Jerman itu
memerlukan masa untuk mengadaptasi sistem tersebut dalam kalangan
pemain.
Dalam pada itu, pemain sayap Perancis, Franck Ribery menggambarkan sistem tersebut sebagai satu formasi yang amat kuat.
"Formasi tersebut jauh berbeza dengan apa yang biasa kami gunakan,
tambahan pula sistem yang sebelum ini kami gunakan membolehkan kami
meraih beberapa kejuaraan," kata Ribery.
Sementara itu, Guardiola memberitahu Bayern adalah pasukan yang hebat dan mampu menerima sistem baharu tersebut dengan baik.
"Pemain dalam kelab ini amat bijak, mereka telah memenangi tiga
gelaran pada musim lepas. Kini mereka masih dalam proses untuk menerima
sistem baharu.
"Pada separuh masa kedua tidak begitu baik namun kami masih mempunyai
beberapa ujian lagi terutama ketika bertemu BVB (Borussia Dortmund)
sebelum memulakan aksi musim Bundesliga," kata Guardiola.
Bayern dijadual menentang Dortmund dalam saingan Piala Super Jerman
pada 27 Julai ini manakala saingan Bundesliga bakal bermula 9 Ogos ini. -
AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan