JAKARTA - Arsenal memakai jersi baru untuk aksi tempat lawan, mirip
jersi Brazil dan beraksi seperti juara dunia lima kali itu sewaktu
membelasah Indonesia Dream Team 7-0 pada perlawanan pembukaan siri
jelajah Asia di sini, kelmarin.
Mengenakan jersi kuning buat pertama kali dan dipadankan dengan
seluar pendek berwarna biru, pemain remaja dari Akademi Arsenal, Chuba
Akpom dan Kristoffer Olsson meledakkan gol pada penampilan pertama
mereka dan Gunners menyumbat enam gol pada babak kedua.
Penyerang England, Theo Walcott menjaringkan gol pembukaan pada minit
ke-19 sementara Olivier Giroud meledakkan dua gol, disusuli Lukas
Podolski serta pemain tengah, Thomas Eisfeld masing-masing menyumbang
satu gol.
Nasib berbeza menimpa juara Liga Perdana Inggeris, Manchester United
yang tewas 0-1 kepada Singha All-Star XI di Bangkok pada aksi pertama
mereka di bawah kendalian boss baru, David Moyes, Sabtu lalu.
Manchester United, Manchester City dan Chelsea kesemuanya
dikendalikan pengurus baharu dan ini memberikan harapan buat Arsenal
yang dibimbing Arsene Wenger untuk menamatkan kemarau lapan tahun tanpa
trofi.
Arsenal tiba berangkat ke Hanoi semalam iaitu kunjungan pertama
mereka ke Vietnam, disusuli kunjungan ke Jepun untuk menentang bekas
kelab Wenger, Nagoya Grampus. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan