MADRID - Francisco Isco Alarcon menggembirakan penyokong Real Madrid
apabila mempamerkan kemahirannya menimang bola ketika majlis
memperkenalkan pemain itu di Santiago Bernabeu, semalam.
Madrid yakin Isco bakal menjadi antara pemain hebat kelab.
"Isco memiliki kebolehan yang akan membuatkan kelab berpuas hati.
Kami yakin kepadanya dan bakatnya," kata Presiden kelab, Florentino
Perez mengenai pemain tengah berusia 21 tahun itu.
Perpindahan Isco dari Malaga dilengkapkan minggu lalu dan kontrak lima tahun dimeterai selepas pemeriksaan kesihatan.
Perez memuji Isco sebagai antara pemain paling kreatif dalam skuad remaja Sepanyol.
Dia berkata, Isco menerima pujian kerana aksinya bersama skuad bawah 21 tahun Sepanyol.
Isco juga mempunyai satu cap bersama skuad senior ketika beraksi dalam perlawanan persahabatan menentang Uruguay pada Februari lalu di Qatar.
"Ini kediaman anda, selamat datang ke Real Madrid," kata Perez ketika menyerahkan jersi No. 23 kepada Isco.
Isco membantu Malaga ke suku akhir Liga Juara-Juara musim lalu dan
membantu Sepanyol dalam kejohanan Bawah 21 tahun Eropah, baru-baru ini. -
AP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan