LONDON - Wayne Rooney dilaporkan bersedia menyambung kontrak baharu
bersama Manchester United, namun dia tidak akan menandatanganinya jika
diminta mengurangkan gaji dalam kontrak asalnya.
Rooney dijadual mengadakan perbincangan dengan pengurus baharu, David
Moyes dalam masa terdekat ini bagi menyelesaikan spekulasi masa
depannya di Old Trafford.
Penyerang berusia 27 tahun itu gembira untuk terus kekal di United
sekiranya segala masalah di kelab berkenaan dapat diselesaikan setelah
Alex Ferguson secara terbuka mendedahkan keinginannya untuk berhijrah
pada musim lepas.
Namun, dengan baki dua tahun lagi dalam kontraknya yang menyaksikan
dia menerima gaji £225,000 (RM1.08 juta) seminggu, Rooney sudah pasti
enggan mengulangi kontroversi seperti tahun lepas di mana United
menawarkan kontrak baharu pada musim terakhirnya.
Meskipun Moyes memberi jaminan untuk mengekalkannya, segala keputusan
menawarkan kontrak lanjutan berkenaan kini terletak di tangan ketua
eksekutif baharu United, Ed Woodward.
Namun, persetujuan itu tidak akan dicapai sekiranya Rooney diminta mengurangkan gajinya.
Rooney sebelum ini berkeras tidak mahu mengurangkan gajinya atas alasan dia kini sudah mencapai tahap kemuncak dalam kariernya.
Penyerang England itu sedar bahawa kelab gergasi lain seperti Real
Madrid, Barcelona, Paris Saint-Germain dan Chelsea sedia membuka pintu
keluar kepadanya jika United enggan memenuhi permintaan tersebut.
Dia juga mahukan jaminan sebagai penyerang tunggal di bawah era Moyes
selepas diberi peranan penyerang kedua di belakang Robin van Persie
ketika dibimbing bekas pengurus, Ferguson. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan