Oleh NOR AZIRAN YUNUS
PENYERANG Kelantan, Mohd. Norfarhan Muhammad yang muncul wira skuad The Red Warriors (TWR)
apabila menjaringkan gol kemenangan pasukan itu ketika menewaskan Johor
Darul Takzim (Johor DT) 1-0 pada perlawanan akhir Piala FA malam
kelmarin, berasa puas kerana dapat membalas kepercayaan yang diberikan
oleh jurulatihnya, Bojan Hodak.
Pada final Piala FA menentang Sime Darby FC tahun lalu, Norfarhan
sekadar menyaksikan rakannya beraksi daripada bangku pemain simpanan
kerana Hodak lebih berminat menggunakan gandingan Norshahrul Idlan
Talaha serta Mohammad Ghaddar ketika itu.
Kira-kira lima bulan selepas itu, dalam final Piala Malaysia
menentang Angkatan Tentera (ATM) pula, penyerang berusia 29 tahun itu
sekali lagi menjadi penonton apabila menjalani penggantungan perlawanan
akibat menerima dua kad kuning.
Namum, segala kenangan pahit itu terus lenyap di Stadium Nasional,
Bukit Jalil malam kelmarin apabila Norfarhan yang menerima umpanan
sempurna daripada kapten, Mohd. Badhri Mohd. Radzi menampilkan aksi
tenang untuk menyudahkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-16 sekali
gus membantu Kelantan mengekalkan kejuaraan Piala FA yang dimenangi
mereka tahun lalu.
"Saya sangat gembira serta berbangga kerana menjadi sebahagian dalam
sejarah gemilang pasukan Kelantan dan saya anggap kejayaan ini hasil
usaha keras semua pihak yang terlibat dalam membangunkan bola sepak
Kelantan.
"Saya tidak kisah siapa pun yang menjaringkan gol, namun apa yang
paling penting bagi saya adalah dapat bermain dalam perlawanan akhir
ini.
"Bagi saya, kemenangan ini adalah hasil permainan berpasukan dan kerjasama semua pihak," kata Norfarhan ketika ditemui Kosmo! selepas perlawanan akhir Piala FA malam kelmarin.
Kejayaan Kelantan itu membolehkan mereka mengekalkan kejuaraan Piala
FA yang dimenangi tahun lalu manakala bagi pasukan Johor DT, kegagalan
itu telah menangguhkan hasrat mereka untuk mencatat kejuaraan buat
pertama kali dalam kejohanan kalah mati itu.
Ketua pasukan Kelantan, Mohd. Badhri pula telah dipilih sebagai
Pemain Terbaik perlawanan akhir Piala FA tersebut selepas berjaya
mengemudi dengan baik jentera tengah pasukan Kelantan serta berjaya
menenggelamkan arkitek Johor DT, Mohammad Safiq Rahim.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan