LONDON - Penyerang Liverpool, Luis Suarez kelmarin mendedahkan,
pengurus kelab itu, Brendan Rodgers kini sedang berhadapan tugas berat
untuk memujuknya kekal di Anfield.
Sebelum ini, Rodgers menegaskan bahawa dia sedang melakukan
komunikasi berterusan dengan seorang penyerang kontroversi dan berharap
dia dapat 'menyimpannya' daripada keinginan untuk ke Real Madrid,
Arsenal atau Chelsea.
"Liverpool sentiasa di hati saya dan tiada siapa dapat menyangkal
kenyataan tersebut," kata Suarez yang turut mengakui turut teringin
bermain bersama kelab yang beraksi di Liga Juara-Juara.
"Namun saya memang menerima beberapa tawaran yang sangat baik bagi masa depan saya. Saya akan memikirkan semasak-masaknya.
"Sesetengah kelab juga ada bertanya secara terus kepada saya namun
saya menyerahkan kepada ejen saya. Saya juga sudah lali dengan khabar
angin," kata penyerang yang bernilai £40 juta (RM191.8 juta) itu.
Sepanjang bersama Liverpool, Suarez pernah mencetuskan kontroversi
yang membuatnya semakin tertekan apabila menghamburkan kata-kata berbaur
perkauman kepada pertahanan Manchester United, Patrice Evra serta
menggigit pertahanan Chelsea, Branislav Ivanovic
Keadaan itu tambah merumitkan dirinya apabila melihat pencapaian
Liverpool yang tidak seberapa dalam carta Liga Perdana England musim
lalu.
Ini menyebabkan bintang Uruguay berusia 26 tahun itu mula mengalihkan
perhatiannya kepada kelab lain dalam usaha mempertingkatkan bakatnya.
"Itulah sebab saya meninggalkan Ajax dan menyertai Liverpool. Tetapi, kelab ini perlu berjuang untuk layak ke Liga Juara-Juara.
"Apabila perkara itu gagal dilaksanakan, ia akan melemahkan moral pemain-pemain. Saya telah mengalami situasi tersebut.
"Selain itu, media England sangat tidak memahami saya. Kontroversi
dengan Evra dan Ivanovic adalah jelas. Selepas insiden dengan Evra, agak
sukar untuk menjelaskan kepada umum siapa Luis Suarez yang sebenarnya,"
kata Suarez lagi.
Untuk rekod, Suarez telah digantung 10 perlawanan oleh Persatuan Bola
Sepak (FA) England berikutan kes menggigit Ivanovic manakala
kontroversi dengan Evra, dia digantung lapan perlawanan pada 2011. -
Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan