|
ARENA badminton tanah air kembali bersinar selepas pemain remaja
negara, Soo Teck Zhi mengesahkan statusnya sebagai jagoan muda rantau
ini dengan kejayaan muncul juara perseorangan lelaki Kejohanan Badminton
Asia Bawah 19 100Plus semalam.
Berbekalkan sokongan padu penyokong sendiri, Teck Zhi jelas berada
pada kelas tersendiri untuk menumpaskan bintang sensasi Korea Selatan,
Jeon Hyuk Jin pada aksi final di Kompleks Sukan Likas, Kota Kinabalu,
Sabah.
Diletakkan selaku pilihan kelima kejohanan, pemain berusia 18 tahun
kelahiran Selangor itu menang 21-17, 13-21, 21-15 ke atas Hyuk Jin dalam
permainan yang berlangsung selama 55 minit.
Menurut Teck Zhi, kejayaan yang dilakar di bumi Kota Kinabalu itu adalah permulaan kepada misinya bergelar juara remaja dunia.
“Sebenarnya saya patut beraksi pada kejohanan ini (Kejohanan Remaja
Asia) sejak tahun lalu lagi, namun terpaksa dilupakan ekoran komitmen
pada Kejohanan Sekolah-Sekolah Asia.
“Justeru, saya menggunakan segala peluang yang ada tahun ini dan hari
ini (semalam), saya berjaya melakukannya apabila muncul juara
perseorangan lelaki,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian
hadiah semalam.
Teck Zhi turut melahirkan rasa bangga apabila dia menjadi satu-satu
produk Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang berjaya muncul juara
remaja Asia.
“Seharusnya saya berterima kasih dengan sokongan peminat di stadium ini yang banyak membantu kejayaan hari ini (semalam).
“Kini, dengan persiapan rapi yang dilakukan di bawah kendalian
jurulatih, saya yakin dapat mengulangi pencapaian ini untuk bergelar
juara remaja dunia,” ujarnya.
Lebih manis, kejayaan yang dilakar Teck Zhi itu berjaya mengulangi
pencapaian gemilang pemain negara, Zulfadli Zulkifli yang muncul
kejohanan yang sama di India dua tahun lalu.
Sebagai rekod, antara jaguh badminton dunia yang pernah bergelar
juara remaja Asia termasuklah trio China - Lin Dan, Chen Jin dan Chen
Long selain pemain Jepun, Kenichi Tago dan Park Sung-Hwan dari Korea
Selatan.
Kejohanan Remaja Dunia Bawah 19 dijadualkan berlangsung di Bangkok, Thailand bermula 23 Oktober hingga 3 November depan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan