|
LONDON - Penyerang Manchester United, Wayne Rooney dilaporkan perlu
mengemukakan permohonan rasmi sekiranya kekal dengan keputusannya untuk
meninggalkan Old Trafford musim depan.
Pada akhir musim lalu, bekas pengurus United, Alex Ferguson mendakwa
penyerang berusia 27 tahun itu menyuarakan hasratnya untuk berpindah
buat kali kedua dalam tempoh tiga tahun tetapi ditolak kelab yang
disertainya dari Everton pada 2004 itu.
Sejak itu, laporan akhbar mendakwa penyerang antarabangsa England
tersebut tidak gembira pendedahan dan spekulasi mengenai masa depannya
yang turut dikaitkan dengan Arsenal, Chelsea dan Paris Saint-Germain.
Rooney dijangka berbincang bersama pengurus baharu skuad The Red Devils, David Moyes minggu ini.
Bagaimanapun, menurut laporan sebuah akhbar di London, United 'tenang' menghadapi situasi itu.
Rooney masih mempunyai baki kontrak selama dua tahun dengan United
dan dia perlu mengemukakan permohonan untuk berpindah secara rasmi bagi
merealisasikan impiannya itu.
Sementara itu, pemain pertahanan Barcelona, Gerard Pique yang
menghabiskan masa selama empat tahun di Old Trafford, menyokong
keputusan Rooney untuk berpindah ke Stadium Nou Camp, Ogos depan.
"Saya tahu, dia mahu menjadi salah seorang pemain terbaik di dunia. Dia sangat sesuai bermain dengan Barcelona.
"Dia mampu beraksi dalam banyak posisi. Posisi terbaiknya adalah
sebagai penyerang utama tetapi kami boleh meletakkannya di sebelah kiri
atau kanan.
"Dia adalah seorang pemain serba boleh, kuat dan pantas," kata Pique. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan