|
|
KAZAN, Rusia - Krisis yang melanda skuad bola sepak Harimau Muda A
dan Kementerian Pendidikan berhubung soal pendaftaran pemain ke temasya
Sukan Universiti Dunia (Universiade 2013) hanya salah faham.
Jurulatih Harimau Muda A, Ong Kim Swee berkata, beliau tidak mahu
masalah tersebut berpanjangan kerana fokus utama kini adalah mengharungi
aksi Kumpulan C yang menampilkan Itali, Great Britain dan Algeria.
"Mungkin ada masalah komunikasi ketika membincangkan soal pendaftaran
pemain sebab ketika perbincangan dibuat, saya berada di Slovakia dan
pihak kementerian di Malaysia.
"Namun ini bukan masalah dengan kementerian, saya memikirkan tentang
keperluan pasukan terutama dengan lima perlawanan yang akan kita lalui
sama ada kita layak ke peringkat suku akhir atau tidak.
"Bagi saya apa yang berlaku kita harus lupakan dan apa yang perlu
sekarang adalah memberi tumpuan kepada semua pasukan lawan," katanya
kepada pemberita di sini semalam.
Media tempatan sebelum ini melaporkan Kim Swee kecewa apabila tidak
dapat membawa pemain tengah, Ariff Farhan dan Adam Nor bersama
pasukannya kerana masalah pendaftaran.
Skuad negara dibarisi oleh 14 pemain Harimau Muda A dan tiga pemain
luar iaitu K. Reuben (ATM), K. Prabakaran (Sime Darby) dan Nazirul Naim
Che Hashim (FC Ryukyu).
Bagaimanapun, pemain tengah, Wan Amirzafran Nadriz tidak dapat tampil dalam semua perlawanan ekoran masalah kecederaan.
Mengulas perlawanan menentang Itali hari ini, Kim Swee berkata,
beliau tidak mahu anak-anak buahnya mengambil sikap sambil lewa pada
aksi pembukaan itu yang akan berlangsung pada pukul 8 malam waktu
tempatan (12 tengah malam waktu Malaysia).
"Saya percaya kita mampu memberikan prestasi yang cukup positif esok (hari ini)," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan