|
KAPTEN Kelantan, Mohd. Badhri Radzi tidak mahu kegagalannya
melaporkan diri ke kem latihan skuad Harimau Malaya sejak Khamis lalu
disalaherti oleh mana-mana pihak.
Bagi mengelakkan sebarang salah faham, Badhri atau lebih senang
disapa Piya mengambil keputusan untuk melaporkan diri bagi mengikut kem
latihan Harimau Malaya semalam.
Piya turut membawa surat tunjuk sebab serta laporan perubatan sebagaimana yang dikehendaki Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Menurut Piya, surat tunjuk sebab serta laporan perubatan berkenaan
akan diserahkan kepada FAM sebaik dia melaporkan diri ke kem latihan
tersebut.
"Saya akui wujud sedikit salah faham dalam isu ini. Kegagalan
melaporkan diri ke kem latihan, bukan bermakna saya ingkar kepada
jurulatih (Datuk K. Rajagobal) dan pasukan.
"Saya berharap FAM dapat menerima surat tunjuk sebab serta laporan
perubatan dan membuat keputusan seadilnya berhubung isu ini," katanya
ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP),
Pengakalan Chepa di Kota Bharu semalam.
Piya berharap keputusannya untuk melaporkan diri ke kem latihan
semalam mampu menepis segala tohmahan yang mengatakan dia enggan menabur
bakti bersama skuad Harimau Malaya.
Kosmo! semalam melaporkan Piya bersedia menjawab surat tunjuk sebab
yang dikemukakan FAM berhubung kegagalannya melaporkan diri pada sesi
latihan Harimau Malaya yang bermula Khamis lalu.
Piya berkata, dia akan mengemukakan laporan pemeriksaan kesihatan
yang dibuat oleh doktor di Kota Bharu, Kelantan sehari selepas
berakhirnya saingan Liga Super menentang Lions XII pada 6 Julai lalu.
Ditanya sama ada dia bersedia menggalas tugas untuk mengemudi jentera
tengah skuad negara, perancang tengah Kelantan itu memberitahu: "Saya
bersedia dengan tugas tersebut dan berjanji memberikan aksi terbaik
bersama Harimau Malaya.
"Jikalau ada peluang memimpin jentera tengah negara, saya bertekad
memberikan aksi terbaik bagi membalas kepercayaan yang diberikan oleh
jurulatih.
"Bagaimanapun, semua itu terpulang kepada jurulatih. Saya selaku
pemain yang memberikan aksi terbaik sekiranya diberikan peluang," kata
Piya.
Piya antara tujuh pemain Kelantan termasuk Khairul Fahmi Che Mat, Nik
Mohd. Shahrul Azim Ab Halim, Azizi Mat Rose, Mohd. Shakir Shaari, Mohd.
Norfarhan Muhammad dan Ahmad Fakri Saarani yang dipanggil menjalani kem
latihan Harimau Malaya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan