Ahad, 10 Februari 2013

ATM tidak gemar 'goyang kaki'



ZULKIFELI (tengah) bergambar bersama pemain dan pegawai kedua-dua pasukan sebelum aksi persahabatan di Padang Bola Sepak Kementerian Pertahanan, Jalan Semarak, Kuala Lumpur kelmarin.


BIARPUN saingan Liga Super dihentikan seketika buat masa ini, barisan pemain Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tetap tidak ‘goyang kaki’ semata-mata.

Kelmarin, anak-anak buah B. Sathianathan dilihat cukup garang apabila membenam cabaran Platun Media Rejimen 515 Wataniah (Platun Media) 8-1 dalam satu aksi persahabatan di Padang Bola Sepak Kementerian Pertahanan, Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Ternyata, kemenangan itu mampu menjadi sebagai penyuntik moral terbaik buat The Gladiators menjelang aksi menentang Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi sebaik saingan Liga Super bersambung Sabtu ini.

Kapten ATM, Hairuddin Omar memberitahu, aksi pemanas badan itu merupakan yang pertama buat mereka selepas saingan Liga Super dihentikan seketika dua minggu lalu.
“Biarpun ia sekadar perlawanan persahabatan, kami tetap tidak memandang mudah cabaran Platun Media dan memberikan yang terbaik.
“Aksi sebegini penting buat kami kerana ia dapat membantu kami mengekalkan kecergasan selepas berehat panjang,” kata Hairuddin.
Dalam perlawanan itu, Hairuddin yang mesra dengan panggilan Hai-O membuktikan sentuhannya cukup berbisa apabila meledak dua gol.

Tidak ketinggalan turut mencatatkan nama selaku penjaring ATM dalam perlawanan itu termasuklah Marlon Alex James (dua gol), Rezal Zambery Yahya (dua gol) sementara dua lagi gol dijaringkan sendiri oleh pemain Platun Media.

Gol saguhati Platun Media pula dijaringkan oleh Noor Asrekuzairey Salim pada awal babak kedua.

Terdahulu, Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin merasmikan perlawanan persahabatan itu.

Kapten Platun Media, Mohd. Naim Aziz mengakui perasaan gugup sebahagian besar rakan-rakan sepasukannya yang pertama kali berdepan finalis Piala Malaysia itu sedikit sebanyak menjejaskan persembahan mereka.

“Begitupun, ia tidak mematahkan semangat kami untuk menguji mana-mana pasukan dari Liga Super selepas ini,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan