Isnin, 11 Februari 2013

Bance dalam radar Kelantan



BANCE antara pemain import yang menjadi perhatian Kelantan.


SELEPAS dibelenggu masalah penyerang import, Keita Mandjou yang gagal menyerlah dalam aksi Liga Super setakat ini, Kelantan kini sedang memburu seorang lagi pemain import untuk menguatkan pasukan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa membayangkan kesediaan KAFA untuk berbelanja besar dengan memburu seorang lagi penyerang import berprofil tinggi dari benua Afrika apabila jendela pendaftaran pemain dibuka pada awal April nanti.

"Pemain ini masih terikat dengan sebuah kelab. Saya baru mendapat laporan daripada pasukan scouting dua hari lalu dan rundingan awal juga sudah pun dilakukan. Jika ini menjadi kenyataan, kita akan susun semula pemain import yang akan bermain untuk Liga M dan kempen Piala AFC," katanya ketika ditemui semalam.

Dalam pada itu, sumber KAFA memberitahu, nama penyerang antarabangsa Burkina Faso, Aristide Bance adalah antara yang disebut-sebut bakal dilamar oleh Kelantan dalam usaha mengekalkan status juara trebel musim lalu.

Berusia 28 tahun, Bance dilahirkan di Abidjan, Ivory Coast sebelum berpindah ke Burkina Faso ketika kecil bersama abang iparnya yang juga merupakan pemain bola sepak profesional, Aruna Dindane.

Beliau baru sahaja membantu negaranya muncul naib juara Piala Negara-Negara Afrika selepas tewas kepada Nigeria 0-1 pada perlawanan akhir awal pagi semalam, dan ketika ini, dia masih mempunyai kontrak tiga tahun bersama kelab FC Augsburg yang beraksi di Bundesliga, Jerman sehingga 30 Jun 2015.

Sumber juga memberitahu, pemain berkenaan juga sebelum ini pernah beraksi untuk kelab Al Ahli dari Dubai dan FC Mainz 05 dari Jerman antara tahun 2008 hingga 2010 serta berjaya menjaringkan 28 gol daripada 72 penampilan.

"Nama beliau sudah disebut dalam mesyuarat sebelum ini namun, kita masih lagi dalam proses pemantauan sebelum membuat keputusan kerana ia melibatkan kos yang agak besar," ujarnya.

Bance kini dikatakan menerima gaji sekitar RM110,000 sebulan bersama FC Augsbugs.
Annuar sebelum ini melalui laman sosial Facebook pernah menyatakan minat terhadap seorang lagi pemain import dari Togo, Moustapha Salifou, 29, yang kini sedang beraksi bersama FC Saarbrucken dalam liga Divisyen Tiga Jerman.

Ketika ditanya mengenai limpahan awang import ketika ini, Annuar membayangkan besar kemungkinan KAFA bakal melepaskan dua pemain, memandangkan Kelantan sudah melengkapkan kuota pemain import pada ketika ini.

"Jika kita bawa masuk dua pemain baharu, bererti dua daripada empat pemain yang ada sekarang kena keluar. Itu kita akan buat secara rundingan. Sama ada empat bermain untuk Piala AFC dan dua untuk Liga M atau hanya kekalkan empat pemain (dua untuk Piala AFC dan dua untuk Liga M) dan dua dilepaskan (tamatkan kontrak) itu kita akan putuskan nanti," katanya.

Kelantan ketika ini mempunyai empat pemain import, Obinna Nwaneri, Keita Mandjou, Dimi Pertratos, Lek Kcira dan kini sedang menguji dua lagi pemain, Salim Arrachi dan Dickson Nwakeami.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan