Ahad, 10 Februari 2013

Mancini malu lihat pemain City



JARINGAN Southampton hasil kesilapan Joe Hart ini ternyata memalukan Mancini.


LONDON - Pengurus Manchester City, Roberto Mancini mengakui kekalahan 1-3 kepada Southampton awal pagi semalam hampir pasti meranapkan impian pasukannya untuk mempertahankan gelaran Liga Perdana England.

Mancini menyifatkan peluang untuk City merampas kedudukan pendahulu liga milik jiran mereka, Manchester United musim ini juga semakin tipis.

United bakal memiliki kelebihan 12 mata selesa mendahului taktha liga sekiranya menang dengan Everton dengan baki 12 lagi perlawanan, sekali gus menyaksikan mereka sukar dikejar oleh City.

Pengurus dari Itali itu juga mengakui prestasi tidak konsisten mereka sejak kebelakangan ini adalah disebabkan beberapa kesilapan mudah yang dilakukan pemainnya ketika bertahan. 

"Dua belas mata adalah terlalu jauh untuk dikejar ketika ini dan kami juga sejak kebelakangan ini gagal beraksi dengan baik," kata Mancini.
"Kami bermain sangat teruk, malah lebih teruk pada aksi tadi (semalam). 

"Saya kecewa dengan persembahan kami. Kami melepaskan satu gol yang tidak pernah saya saksikan dalam hidup saya.

"Kini tiada apa-apa yang boleh kami buat, selain mengucapkan tahniah kepada Southampton di atas permainan mereka. 

"Ini adalah aksi paling buruk kami dalam masa dua atau tiga tahun. Pemain bermain sangat teruk, tanpa kekuatan dan tanpa personaliti. Saya sangat kecewa dengan mereka," katanya.

Kekalahan City semalam berpunca daripada beberapa kesilapan mudah ketika bertahan, termasuk kesilapan daripada pertahanan, Gareth Barry yang menjaringkan gol sendiri.

Penjaga gol England, Joe Hart juga membuat kesilapan mudah dengan membenarkan bola menembusi celah kangkangnya, sekaligus memberi peluang Steven Davis menyentuh bola masuk ke gawangnya.
"Ia satu kesilapan yang teruk daripada Joe Hart. Ia bukan perkara yang pelik kerana dia telah melakukan beberapa kesilapan musim ini," kata Mancini.

"Situasi ini tidak bagus bagi kami. Joe seorang penjaga gol yang baik, tetapi mana-mana penjaga gol juga akan melakukan kesilapan." - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan