Isnin, 4 Februari 2013

Nigeria benam ego Ivory Coast



MBA (kanan) diraikan rakan-rakan sepasukannya selepas menjaringkan gol kemenangan Nigeria ketika menentang Ivory Coast pada aksi suku akhir Piala Negara-Negara Afrika awal pagi semalam.


RUSTENBURG, Afrika Selatan - Nigeria berjaya menewaskan pasukan pilihan, Ivory Coast 2-1 dalam persaingan sengit peringkat suku akhir Piala Negara-Negara Afrika awal pagi semalam, sekali gus menempah pertemuan dengan Mali dalam aksi separuh akhir.

Sunday Mba muncul wira apabila meledak jaringan kemenangan The Super Eagles ketika perlawanan berbaki 12 minit.

Sebelum itu, Cheik Tiote menyamakan kedudukan 1-1 buat Ivory Coast selepas Emmanuel Emenike menjaringkan gol pembukaan Nigeria.

Jaringan Mba itu juga menjadi penamat kepada karier penyerang veteran Ivory Coast, Didier Drogba dalam kempen Piala Negara-Negara Afrika.

"Saya mahu bersyukur kepada Tuhan atas kejayaan manis ini dan sudah pasti saya berterima kasih kepada pemain saya atas segala yang mereka lakukan hari ini (kelmarin)," kata jurulatih Nigeria, Stephen Keshi.

"Saya harap kami dapat meneruskannya sehingga ke final. Ivory Coast sebuah pasukan yang handal di benua ini (Afrika), jadi kami cuba bermain pantas dan mengekang pergerakan Drogba dan Yaya Toure.

"Ketika Ivory Coast berjaya menyamakan kedudukan, kami cuba bertahan dan menggunakan taktik kami, akhirnya kami berjaya menjaringkan satu gol. Sunday (Mba) menjaringkan gol yang sangat cantik."

Drogba, 34, yang memanaskan bangku simpanan pada aksi kedua peringkat kumpulan, mengetuai jentera serangan skuad The Elephant itu setelah ketiadaan penyerang kelab Anzhi Makhachkala, Lacina Traore.

Penjaga gol, Boubacar Barry, perancang Manchester City, Toure dan penyerang yang meningkat naik, Gervinho turut beraksi selepas direhatkan pada pertemuan dengan Algeria.

Nigeria pula turun tanpa perancang, Fedor Ogude yang digantung perlawanan dan penjaga gol, Vincent Enyeama diberi tugas sebagai kapten selepas pertahanan veteran, Jospeh Yobo masih bergelut dengan kecederaan. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan