Ahad, 3 Februari 2013

Balotelli lega tidak diburu media



BALOTELLI mengakui yang dia tetap merindukan saingan Liga

Perdana England.


MILAN - Penyerang kontroversi, Mario Balotelli berasa lega kerana dia tidak perlu lagi mengelak daripada bertemu media England selepas berhijrah ke AC Milan kelmarin.

"Memang impian saya untuk menjadi pemain Milan. Jadi, saya sangat gembira (dengan penghijrahan ini)," katanya pada sidang media majlis menandatangani kontrak bersama kelab Itali itu.

"Begitupun, saya lebih suka untuk tidak bercakap mengenainya," tambahnya lagi.

Pemain berusia 22 tahun itu menjelaskan bahawa dia berasa sangat gembira kerana berdekatan dengan keluarga dan rakan-rakannya selepas meninggalkan Manchester City.

Terdahulu, pemain antarabangsa Itali itu sering dihimpit dengan pelbagai kontroversi selepas beberapa siri pergaduhannya dengan pengurus, Roberto Mancini dan beberapa insiden luar biasa.

"Saya kini sudah berada di Milan. Saya rasa sangat penting kerana dekat dengan keluarga dan rakan-rakan.
"Sebenarnya Manchester tidaklah terlalu jauh tetapi Milan lebih dekat," kata Balotelli yang dilaporkan telah menyebabkan kelab Itali itu mengeluarkan perbelanjaan sebanyak AS$27.39 juta (RM85.10 juta) untuk mendapatkannya.

Balotelli berkata, dia akan melihat penghijrahan tersebut dari sudut positif dan negatif.
"Perkara yang bagus apabila saya tiba di Carrington untuk berlatih. Jadi, rakan-rakan sepasukan, pengurus, mereka ini yang bagus, yang buruk pula... perkara-perkara yang lain," ujarnya.

Balotelli menganggap sidang media pertama, cuaca, makanan dan cara pemanduan kereta sebagai perkara yang negatif ketika berada di Manchester.

Begitupun, dia mengakui tetap merindukan saingan Liga Perdana England.
"Liga yang sangat hebat dan saya rasa ia yang terbaik kerana dapat bersama-sama dengan penonton yang ramai. 

"Saya juga tidak tahu sama ada saya akan kembali atau tidak pada masa hadapan," tambahnya. - Reuters

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan