Isnin, 4 Februari 2013

Tiada pengecualian – FAM


AZZUDDIN (kiri) bersalaman dengan Azmi selepas pertemuan di Wisma FAM semalam bagi membincangkan isu pendaftaran pemain baharu Selangor PKNS, Nazmi Faiz.


HASRAT Selangor PKNS menggunakan khidmat ‘arkitek’ muda negara, Muhammad Nazmi Faiz Mansor ketika saingan Liga Super kembali bersambung pada 16 Februari ini tidak kesampaian.

Semalam, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kekal dengan keputusan hanya membenarkan Nazmi, 19, beraksi selepas pendaftaran pemain Liga Malaysia (Liga M) dibuka semula pada 8 hingga 22 April depan.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata, keputusan badan induk itu bukannya ekoran terkilan dengan tindakan Nazmi membuat keputusan menamatkan kontrak selama tiga tahun bersama kelab Portugal, S.C. Beira-Mar baru-baru ini.

Sebaliknya tegas beliau, Nazmi tidak terkecuali dengan peraturan sedia ada yang ditetapkan badan induk itu terhadap mana-mana pemain sebelum ini.

“Peraturan tetap peraturan, ia bukannya berlandaskan emosi FAM selaku badan induk semata-mata ekoran tindakan Nazmi.

“Dia hanya boleh beraksi pada April depan selepas memperoleh sijil perpindahan antarabangsa (ITC) daripada kelab yang diwakilinya sebelum ini,” katanya kepada pemberita di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Turut hadir ialah Penolong Setiausaha Agung FAM, Ahmad Fuad Daud dan pengurus pasukan Selangor PKNS, Azmi Adnan.

Begitupun, Nazmi yang hadir bersama bapanya, Mansor Mustapha dilihat tergesa-gesa meninggalkan Wisma FAM tanpa sempat ditemu ramah media.

Sabtu lalu, Nazmi sah menandatangani kontrak selama tiga tahun dengan PKNS selepas menamatkan kontraknya bersama S.C. Beira-Mar atas dasar persetujuan bersama.

Begitupun, nilai perpindahan itu tidak didedahkan manakala Nazmi juga enggan memberitahu sebab sebenar dia meninggalkan kelab Portugal itu.

Mengulas lanjut, Azzuddin memberitahu, status Nazmi sebagai pemain Harimau Muda juga akan dirujuk ke mesyuarat Jawatankuasa Status FAM dalam masa terdekat.

Jelas beliau, mana-mana pemain yang beraksi bersama kelab lain sama ada di dalam atau di luar negara sepatutnya kembali ke pangkuan pasukan asal masing-masing.

Begitupun, Azzuddin membayangkan keputusan Jawatankuasa Status bakal berpihak kepada Nazmi sekiranya pemain itu mahu beraksi bersama Selangor PKNS.

“Berdasarkan pengalaman sebelum ini (kes Affize Faisal Mamat) yang mahu beraksi bersama Angkatan Tentera Malaysia, pemain berhak menentukan pasukan mana yang mereka mahu wakili.

“Biarpun Nazmi sepatutnya kembali ke pangkuan Harimau Muda, kami tiada kuasa menghalang hasratnya beraksi bersama Selangor PKNS,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan