Sabtu, 9 Februari 2013

United pasti digeruni jika kalahkan Real Madrid - Evra


Patrice Evra 
 
ENGLAND - Patrice Evra percaya Manchester United mampu mengembalikan faktor 'kegerunan' kelab itu di Eropah seandainya meraih kemenangan ke atas Real Madrid pada saingan Liga Juara-Juara musim ini.
Evra, 31, berkata, reputasi kuasa besar Eropah yang ada pada kelab itu semakin terjejas selepas kecundang dalam beberapa kejohanan besar musim lalu.

Malah, Evra yakin hanya kemenangan ke atas juara Liga Sepanyol itu mampu mengembalikan reputasi United sebagai kelab yang digeruni di Eropah.

"Jika kami mampu menewaskan Madrid sudah tentu tumpuan lebih terarah kepada pasukan yang meraih kemenangan.

"Jangan lupa pada musim lalu kita tersingkir dalam saingan Liga Juara-Juara di peringkat awal dan disebabkan itu ramai orang mempunyai gambaran tersendiri terhadap Manchester United di Eropah.
"Kami perlu mengubahnya dan kerana itu saya fikir tahun ini amat sesuai untuk membuktikan siapa kami sebenarnya. Kami tidak boleh melepaskan peluang ini. 

"Saya juga memandang kehadapan terhadap perlawanan menentang Real Madrid ini kerana saya sudah lama menantikan perlawanan sebegini menentang pasukan besar di Eropah.
"Peminat juga pasti menantikan perlawanan ini," kata Evra.

Ketika ini United berhadapan tugas sukar untuk mengekalkan kelebihan sembilan mata sebagai pendahulu Liga Perdana Inggeris dan dalam masa sama perlu menghidupkan harapan kejuaraan pada Piala FA dan Liga Juara-Juara. 

Dalam pada itu, Evra juga percaya skuad Red Devils hanya perlu mengekalkan prestasi mereka dalam kesemua tiga perlawanan tersebut bagi membolehkan mereka menjadi salah satu pasukan terbaik di dunia.
"Perlawanan itu semua penting buat kami.

"Ini adalah masa yang sesuai untuk memenangi perlawanan bagi menunjukkan bahawa Manchester United adalah pasukan nombor satu. Semua itu bukan mudah tetapi ini adalah masa yang sesuai untuk melakukannya," jelas Evra. - AGENSI

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan