Sabtu, 22 Disember 2012

Benitez sasar Piala Liga

(Utusan Malaysia)

 
http://kakibola.forumado.net/t1229-benitez-sasar-piala-liga#1773
Pemain Chelsea, Branislav Ivanovic (kanan) diasak hebat pemain pertahanan Leeds United dalam saingan Piala Liga, kelmarin . - REUTERS 
LEEDS - Rafael Benitez meletakkan sasaran mahu memenangi Piala Liga sebagai trofi pertama bersama Chelsea selepas menyaksikan pasukan bimbingannya membelasah Leeds 5-1, semalam untuk menempah pertembungan dengan Swansea di separuh akhir.

Benitez yang merupakan pengurus sementara Chelsea terdesak mahu meraih sebarang gelaran bagi mendapatkan jawatan secara tetap di Stamford Bridge, namun pengurus dari Sepanyol itu memberikan amaran bahawa mereka berdepan tugasan berliku untuk ke Wembley.
Biarpun kebanyakan pemain masih mengalami masalah mabuk penerbangan selepas pulang dari Jepun selama 13 jam berbanding waktu di England, lima jaringan yang dihasilkan untuk menang besar ke atas Leeds di Elland Road.

"Mana-mana kejohanan utama di peringkat separuh akhir pasti sukar. Kami tahu yang kami akan berdepan sebuah pasukan yang mahu bermain bola sepak dan sentiasa mahu menguasai bola sepanjang perlawanan.
"Prestasi mereka cukup baik pada masa sekarang dan itu satu perkara yang menarik, motivasi kedua-dua pasukan pada masa sekarang berada di tahap terbaik," kata Benitez.

Benitez masih dalam usaha memenangi hati penyokong Chelsea yang berterusan mempersoalkan keputusan memecat Roberto Di Matteo dan mengambil bekas pengurus Liverpool itu sebagai pengganti.
Jika dia berjaya meraih sebarang trofi walaupun sekadar Piala Liga dijangka sudah cukup baik kepada Benitez.

''Memenangi sebarang trofi adalah cukup penting kepada mana-mana pengurus, kami semakin hampir ke Wembley dan kami mahu memberikan fokus kepada perlawanan seterusnya.
''Pasukan yang bagus sentiasa mahu mencuba memenangi setiap pertandingan dan kami mahukan kejuaraan ini," katanya.

Chelsea terlebih dahulu ketinggalan apabila Luciano Becchio meletakkan Leeds di hadapan sebelum Juan Mata, Branislav Ivanovic, Victor Moses, Eden Harzard dan Fernando Torres yang menjaringkan gol ke-13 pada musim ini memastikan kemenangan besar 5-1.
Sementara itu, pengurus Leeds, Neil Warnock tetap memberikan pujian kepada pemain Leeds walaupun keputusan itu dianggap terlalu berat untuk diterima oleh mereka. - AFP

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan