Sabtu, 22 Disember 2012

Villa jadi sasaran Gunners

(Utusan Malaysia)

LONDON - Asenal bersedia membuat tawaran berani dengan cuba mendapatkan bintang penyerang Barcelona, David Villa bagi mengukuhkan jentera pasukan.
Malah, kedudukan Wojciech Szczesny sebagai penjaga gol utama Gunners juga semakin tidak menentu selepas kelab London itu menyuarakan minat untuk mendapatkan penjaga gol Sunderland, Simon Mignolet apabila pasaran perpindahan dibuka, bulan depan.
Usaha untuk mendapatkan bintang penyerang Sepanyol, Villa paling menggembirakan peminat Arsenal ketika ini kerana mereka mengharapkan ada nama besar dibawa masuk pada pasaran perpindahan nanti.
Pengurus Arsenal, Arsene Wenger dan barisan kejurulatihan sudah membincangkan mengenai kemungkinan mendapatkan Villa, pemain yang digemari Wenger sejak beberapa tahun lalu.
Bagaimanapun Gunners lebih berminat untuk mendapatkan pemain berusia 31 tahun secara pinjaman sehingga musim ini berakhir, dan ia bergantung kepada bagaimana kedudukan mereka dalam Liga Perdana Inggeris ketika itu.
Namun begitu jika harga yang diletakkan Barcelona munasabah, Arsenal mungkin bersedia mengikat Villa menerusi kontrak jangka panjang bulan depan.
Sumber di Sepanyol memberitahu, Barcelona sedia melepaskan Villa kerana pemain itu kurang mendapat tempat dalam kesebelasan utama pasukan sejak akhir-akhir ini.
Mengukuhkan jentera serangan merupakan keutamaan Wenger apabila saingan memasuki tahun baru. Klass-Jan Huntelaar, Adrian Lopez dan Edin Dzeko antara yang berada dalam senarai Wenger, manakala bekas bintang mereka, Thierry Henry dijangka membuat kemunculan ketiga bersama kelab, bulan depan.
Wenger mencari penjaga gol baru untuk mencabar Szczesny dan dia melihat Mignolet sebagai calon terbaik untuk mengisi kuota tersebut.
Pengurus Arsenal itu tidak gembira dengan standard permainan yang ditunjukkan Szczesny ketika ini dan mahu pemain lebih berpengalaman memberi tekanan berterusan kepada penjaga gol muda Poland itu, malah tidak mustahil menggantikannya.
Pepe Reina, Asmir Begovic dan Michel Vorm antara calon penjaga gol yang dikehendaki Wenger.
Szczesny tidak gembira dengan prospek dia mungkin disisihkan di bangku simpanan andai penjaga gol baharu mengambil alih tempatnya dalam kesebelasan utama.
Sementara itu bintang baru Crystal Palace, Wilfried Zaha sedang mempertimbangkan perpindahan ke Manchester United atau Arsenal, bulan depan. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan