Rabu, 26 Disember 2012

Skuad B-15 Malaysia berdepan ujian sulung


S. Balanchandran mengendalikan latihan skuad Bawah 15 Malaysia baru-baru ini sebagai persediaan untuk Piala Antarabangsa Frenz yang akan bermula esok. 
 
KUALA LUMPUR - Skuad Malaysia Bawah 15 Tahun yang dihimpun dalam masa singkat, akan berdepan ujian getir apabila beraksi dalam saingan bola sepak Piala Antarabangsa Frenz yang akan bermula esok.

Ketika enam pasukan luar mula tiba untuk menyahut cabaran sepanjang 10 hari kejohanan itu, skuad B-15 Malaysia berpeluang menguji ketahanan pemain dalam aksi pertama sebagai sebuah pasukan sejak dikumpul bawah kendalian. S. Balanchandran November lalu.

Skuad 20 pemain untuk menghadapi kejohanan ini, menjadi antara kumpulan pertama akan memasuki akademi serba lengkap dan terkini di Gambang, Kuantan dan mereka ini adalah benih yang disemai untuk membentuk skuad kelayakan Kejohanan Belia Asia AFC Bawah 16 pada 2013.

"Kejohanan ini tiba tepat pada waktunya untuk saya melihat potensi pasukan ini. Namun demikian, saya tidak menaruh sebarang harapan kerana saya memerlukan masa yang lebih panjang untuk menyiapkan sebuah pasukan yang jitu," kata Balachandran.

Bekas pemain tengah kebangsaan, Balachandran akan dibantu Maamal Hajiri Abdul Wahab dan Zainuddin Yusof. Zulkifli Samsuddin merupakan pengurus pasukan.

Pasukan B-15 diundi dalam Kumpulan A bersama Frenz United Malaysia, Pilihan Incheon dan Slavia Praha dari Republik Czech. Manakala Kumpulan B terdiri daripada Frenz United Indonesia, Chonburi FC, Bawah-15 Slovakia dan Persepolis dari Iran.

Sementara itu Pilihan Incheon muncul pasukan pertama tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang diikuti Persepolis, semalam.

Perlawanan berlangsung di Stadium Petaling Jaya, Stadium Shah Alam dan Stadium Inspen, Bangi.
Astro Arena 801 menjadi penyiar rasmi dengan 10 aksi siaran langsung, enam siaran tertunda dan empat program khas. 

Semua perlawanan juga disiar secara langsung menerusi laman web kejohanan www.frenzinternationalcup.com dan media rasmi atas talian www.radiotvsports.com.
 
Kejohanan menawarkan AS$100,000 (RM306,000) dengan AS$50,000 (RM153,000) untuk juara, AS$25,000 (RM76,000) (naib juara), AS$15,000 (RM46,000) (ketiga) dan AS$10,000 (RM36,000) (keempat). Kejohanan juga mencari Pemain Paling Bernilai dengan ganjaran AS$3,000 (RM9,195).

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan