Isnin, 24 Disember 2012

Kim Swee belum puas hati (Kosmo)



TUGAS mempertahankan pingat emas acara bola sepak pada Sukan SEA 2013 menjadi keutamaan skuad Harimau Muda Malaysia.



PERASAAN terlalu mudah berpuas hati bagaikan tidak wujud dalam kamus kehidupan pengendali Harimau Muda, Ong Kim Swee .
Biarpun berjaya melakar kemenangan 2-1 ke atas Sime Darby dalam satu aksi persahabatan di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kelmarin, masih ada kelemahan yang perlu diperbaiki anak-anak buah beliau menjelang misi mempertahankan emas temasya Sukan SEA di Myanmar tahun depan.
Menurut Kim Swee, biarpun anak-anak buahnya dilihat semakin membentuk kombinasi yang baik, masih terdapat kelemahan individu yang perlu diperbaiki, terutamanya pada bahagian serangan.
"Kombinasi yang semakin baik ditunjukkan oleh pemain ketika menewaskan Sime Darby.
"Namun, beberapa kelemahan individu perlu diperbaiki agar pergerakan lebih teratur, terutamanya ketika menyerang," kata Kim Swee menerusi Twitter peribadinya semalam.
Dalam perlawanan itu, Sime Darby terlebih dahulu di depan menerusi sepakan penalti Karlo Primorac pada pertengahan babak pertama.
Begitupun, Harimau Muda kembali bangkit menyamakan kedudukan menerusi tandukan Wan Zack Haikal Wan Nor sebelum sepakan percuma D. Saarvindran menjamin kemenangan bergaya skuad muda negara.
Ia merupakan aksi persahabatan kedua skuad kendalian Kim Swee selepas seri 1-1 dengan Sarawak di Port Dickson minggu lalu.
Selepas ini, skuad Harimau Muda bakal berlepas ke Kuching untuk sekali lagi berdepan Sarawak dalam satu lagi aksi persahabatan di Stadium Negeri, Jumaat ini.
Ia merupakan aksi persahabatan pemanas badan skuad Harimau Muda sebelum berlepas ke Australia, Januari depan.
Kim Swee memberitahu, kesemua pemain diberikan cuti rehat sehingga esok sempena sambutan Krismas hari ini.
"Begitupun, pemain yang cedera harus meneruskan rehabitilasi," katanya.
Difahamkan, antara pemain yang masih dibelenggu kecederaan ketika ini termasuklah Fandi Othman, Syahrul Azwari Ibrahim dan A. Thamil Arasu.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan