Rabu, 26 Disember 2012

Blues mula tunjuk belang sebenar - Benitez


-Utusan Malaysia

NORWICH - Rafael Benitez menyifatkan Chelsea sudah mula menunjukkan potensi sebenar mereka untuk mencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris ketika pasukannya bersiap sedia untuk berdepan Norwich di Carrow Road, hari ini.

Skuad Benitez memberikan persembahan terbaiknya musim ini apabila membelasah Aston Villa 8-0 di Stamford Bridge selepas membenam Leeds 5-1 pada suku akhir Piala Liga.

Chelsea hanya kurang satu gol bagi menyamai rekod jaringan kemenangan terbesar mereka, dengan tujuh pemain berbeza menjaringkan gol ketika berdepan Aston Vill tempoh hari.
Sebelum itu, Villa belum tewas dalam enam perlawanan terakhir.

Kemenangan itu membawa Chelsea kembali merampas tempat ketiga, 11 mata di belakang pendahulu, Manchester United di samping kurang satu perlawanan.

Kini, Benitez yang merupakan pengurus sementara Chelsea yakin dapat mengekalkan prestasi yang sama apabila menjaringkan 13 gol dalam dua perlawanan sejak kalah kepada Corinthians pada final Piala Dunia Kelab di Jepun.

"Perkara paling utama ialah kami memenangi setiap perlawanan, pasukan ini boleh melakukannya jika mempamerkan peningkatan.

"Jika prestasi sebegitu dikekalkan dalam setiap perlawanan, tiada masalah kami akan menang selalu.
"Lihatlah mentaliti para pemain, walaupun selesa mendahului 6-0, mereka masih menyerang dan mahu menjaringkan gol.

"Pasukan ini tidak bergantung kepada satu atau dua pemain semasa menyerang, itu memang satu perkara yang positif mengenai pasukan ini.

"Diharapkan kami dapat mengekalkan momentum ini dan jika rentak kemenangan berterusan, ia adalah satu mesej kepada semua pencabar bahawa kami mampu mencabar kejuaraan, " katanya
.
Pertahanan Brazil, David Luiz dijangka meneruskan tugasannya pada bahagian tengah apabila bertemu Norwich nanti, bagi memburu kemenangan kali ketiga berturut-turut.
John Terry masih tidak dapat diturunkan dan Branislav Ivanovic bakal bergandingan dengan Gary Cahill pada bahagian pertahanan sekali lagi. - AFP

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan