LONDON - Meskipun Tottenham Hotspur telah berbelanja £108 juta
(RM555.3 juta) dalam membawa pemain-pemain baharu pada musim panas ini,
penyerang Togo, Emmanuel Adebayor tetap percaya dia masih yang terbaik
untuk menjadi peledak utama kelab berkenaan.
Adebayor masih belum beraksi pada musim ini setelah mengambil cuti panjang berikutan kematian abangnya.
Namun, pemain berusia 29 tahun itu yakin dia mampu menjadi tonggak utama Spurs musim ini.
Roberto Soldado dibeli dengan harga £26 juta (RM133.8 juta) untuk
menajamkan lagi sentuhan gol Spurs, manakala Nacer Chadli dan Erik
Lamela dibawa untuk memperkuatkan lagi jentera serangan mereka.
Seorang lagi penyerang, Jermaine Defoe juga masih belum membuat
penampilan musim ini namun Adebayor menegaskan bahawa dia merupakan
individu lebih layak untuk mengetuai barisan serangan.
"Hanya statistik yang akan menjadi bukti dalam karier seseorang
pemain bola sepak. Saya bukan beritahu kamusaya lebih bagus daripada
Soldado, Defoe atau Lamela.
"Kamu buatlah kajian sendiri di internet dan kamu akan dapati berapa jumlah gol yang telah saya sumbang sepanjang karier saya.
"Kini ada empat pemain di posisi penyerang, saya tidak tahu siapa
pemain ranking utama, kedua atau ketiga tetapi saya tahu akhirnya nanti,
saya yang akan menjadi penyerang utama.
"Dua tahun lalu saya penjaring terbanyak kelab ini. Musim lalu tidak begitu bagus.
"Musim ini saya mahu memperbaikinya.. Saya boleh beri jaminan apabila
saya mula beraksi, saya akan bekerja lebih keras," tambahnya.
Adebayor menyertai Spurs dengan harga £5 juta (RM25.7 juta) dari
Manchester City dan telah meledakkan lapan gol dalam 24 penampilan sejak
berpindah secara tetap pada 2012. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan