'Wenger berjaya meyakinkan saya'
BERLIN - Mesut Ozil mendedahkan bahawa dia tidak berniat untuk meninggalkan Real Madrid.
Bagaimanapun, pemain tengah kreatif itu mengubah fikiran selepas
menyedari dia berdepan risiko menjadi pemain simpanan dalam skuad The Galaticos.
Ozil, 24, menyaksikan Gareth Bale melengkapkan perpindahan daripada
Tottenham Hotspur ke Santiago Bernabeu, Isnin lalu sebelum bersetuju
untuk berpindah ke Emirates dengan yuran perpindahan yang dilaporkan
berjumlah £42.5 juta (RM217.8 juta).
Perancang Jerman itu berkata, dia bersetuju untuk berpindah selepas
mengetahui bahawa dia tidak lagi berada dalam perancangan pengurus
baharu Real, Carlo Ancelotti.
"Pada suatu ketika (beberapa hari lalu), saya membuat keputusan untuk
kekal di Real tetapi selepas itu saya menyedari bahawa jurulatih dan
pengarah kelab tidak lagi menaruh kepercayaan kepada saya.
"Saya adalah seorang pemain yang memerlukan keyakinan itu dan
keputusan menyertai Arsenal mungkin mampu mengubah nasib saya. Sebab itu
saya membuat keputusan untuk berpindah," kata Ozil yang disiarkan dalam
laman web Persatuan Bola Sepak Jerman kelmarin.
Kini, Ozil tidak sabar untuk bergandingan semula dengan rakan
senegara, Per Mertesacker dan Lukas Podolski selain bekerjasama dengan
pengurus Arsenal, Arsene Wenger yang mampu berkomunikasi dalam bahasa
Jerman.
"Wenger menunjukkan keyakinan kepada saya dan kini, saya berpeluang
untuk meneruskan kemajuan sebagai seorang pemain. Saya mahu berada pada
tahap terbaik menjelang Piala Dunia 2014.
"Saya bercakap dengannya untuk satu tempoh yang lama dalam telefon
dan dia memberitahu saya bagaimana dia fikir bola sepak sepatutnya
dimainkan," kata bekas pemain Schalke 04 dan Werder Bremen itu.
Dia dijangka membuat penampilan pertama dengan Arsenal pada aksi Liga
Perdana England menentang Sunderland, 14 September depan. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan