Ahad, 15 September 2013

Tanda kebangkitan Manchester United


Wayne Rooney menjaringkan gol Manchester United menentang Crystal Palace dalam saingan Liga Perdana Inggeris di Old Trafford, semalam. - AFP 
 
LONDON - Robin van Persie dan Wayne Rooney berjaya mencetak nama sebagai penjaring gol untuk membolehkan Manchester United mencatat kemenangan 2-0 ke atas Crystal Palace di laman sendiri semalam, sedikit sebanyak memberikan kerisauan buat pencabar lain yang juga untuk merampas kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Van Persie menjaringkan gol ketiganya musim ini pada masa kecederaan separuh masa pertama, selepas menyempurnakan sepakan penalti yang dihadiahkan oleh pengadil, Jon Moss selepas Kagisho Dikgacoi mengasari Ashley Young.

Crystal Palace ibarat jatuh ditimpa tangga apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila kekasaran tersebut menyebabkan Dikgacoi dilayangkan kad merah.

United berjaya menggandakan jaringan pada minit ke-81 menerusi Rooney selepas melakukan sepakan percuma dari jarak 25 meter menewaskan penjaga gol lawan, Julian Speroni.

Rooney yang terlepas perlawanan kelayakan Piala Dunia bersama skuad England kerana kecederaan kepala, melambaikan tangan kepada penyokong selepas menjaringkan gol pertamanya musim ini sekali gus memberi petanda bahawa dia masih setia bersama United.

Sebelum musim baharu ini bermula Rooney dihimpit dengan kontroversi untuk meninggalkan United dan dia dikaitkan akan berpindah ke Chelsea sebelum pasaran perpindahan pemain tutup.

Pemain yang baru dibeli sebelum pasaran perpindahan ditutup awal bulan lalu, Marouane Fellaini diletakkan di bangku simpanan sebelum dimasukkan pada separuh masa kedua untuk membantu pasukan menghalang serangan yang dilakukan Palace.

Kemenangan tersebut membolehkan United sekarang ini mengumpul tujuh mata daripada empat perlawanan pembukaan liga, manakala Palace yang baru dinaikkan daripada Liga Kejuaraan musim ini hanya mengumpul tiga mata. - Reuters

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan