MARSEILLE - Arsenal perlu lebih berhati-hati apabila berkunjung ke
Stade Velodrome untuk berdepan Marseille pada aksi pembukaan Kumpulan F
kempen Liga Juara-Juara awal pagi esok.
Meskipun berada pada prestasi terbaik, Arsenal dihimpit kebimbangan
apabila menyedari mereka perlu beraksi dalam kumpulan sukar bersama-sama
Marseille, Napoli dan Borussia Dortmund.
Skuad The Gunners perlu meneruskan aksi cemerlang selepas
memenangi kelima-lima perlawanan dalam kesemua pertandingan sejak tewas
1-3 kepada Aston Villa pada aksi sulung Liga Perdana England, 17 Ogos
lalu.
Ketika ini, Arsenal menduduki tangga kedua selepas mengumpul sembilan
mata, satu mata di belakang Liverpool hasil kemenangan 3-1 ke atas
Sunderland, Sabtu lalu.
Kemenangan itu hadir hasil persembahan cemerlang pemain termahal
Arsenal, Mesut Ozil yang dibeli dari Real Madrid dan pengurus, Arsene
Wenger semakin yakin terhadap keupayaan anak-anak buahnya meskipun
mereka masih dibelenggu masalah kecederaan pemain.
Perancang Sepanyol, Santi Cazorla muncul sebagai pemain terbaharu yang tiba di bilik rawatan skuad The Gunners apabila ditimpa kecederaan pergelangan kaki, sekali gus bakal direhatkan beberapa minggu.
Selain itu, Lukas Podolski dan Alex Oxlade-Chamberlain turut
menyertai Cazorla apabila kedua-dua bintang Arsenal ditimpa kecederaan,
manakala penyerang berbisa, Olivier Giroud dijangka sempat cergas
meskipun dia ditimpa kecederaan lutut ketika menentang Sunderland.
Kini, Wenger sangat berharap agar bintang Perancis itu dapat
diturunkan kerana beliau mengakui Giroud sukar untuk digantikan oleh
mana-mana pemain buat masa ini.
Begitupun, kepulangan Giroud menjadi subjek utama apabila bekas
pemain Montpellier itu berazam untuk membantu mempertahankan rekod tanpa
kalah Arsenal kepada kelab Perancis.
"Saya mengetahui bahawa Marseille adalah sebuah pasukan yang cukup
bagus dan mereka memiliki penyokong-penyokong yang begitu menakjubkan.
"Saya pasti kami akan berjuang kerana Arsenal terdesak untuk
melakukan permulaan yang baik selain merakamkan kemenangan pertama di
pentas Liga Juara-Juara.
"Meskipun kami ditimpa krisis kecederaan, Arsenal masih memiliki
kualiti dan kami akan berusaha untuk memenangi perlawanan ini," ujarnya.
- AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan