Isnin, 30 September 2013

Kita setanding Jepun, Korea


SEPANG - Bukan mahu cakap besar namun realitinya pasukan Bawah 16 Tahun negara yang berjaya melayakkan diri ke pusingan akhir Piala AFC Bawah 16 2014, sebenarnya setanding dengan dua gergasi Asia, Jepun dan Korea Selatan.

Kemenangan 2-0 ke atas Korea Selatan yang menjadi kunci utama kemaraan Malaysia selaku juara kumpulan H juga bukan satu mengejutkan pengendalinya, S. Balachandran kerana dia memang sedar potensi yang ada pada para pemain.

''Tiga mata yang kita pungut ketika bertemu Korea tidak mengejutkan saya kerana melalui apa analisis yang saya telah lakukan, kita setanding dengan mereka.

''Sebelum ini kita pernah mengadakan aksi persahabatan menentang Jepun di sini dan daripada situ, saya tahu secara taktikal dan fizikal, kita berada di tahap yang sama dengan kedua-dua negara ini (Jepun dan Korea).

''Saya sering menekankan latihan yang berintensiti tinggi supaya mereka menentang mana-mana pasukan dan apabila bertemu Korea, inilah hasilnya, kita berjaya mencapai kemenangan dan layak ke pusingan akhir Piala AFC selain memenangi Piala AFF Bawah 16 sebelum ke Laos" katanya ketika ditemui sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.

Secara fakta, apa yang diperkatakan oleh Balachandran itu juga tidak menipu kerana mereka tidak pernah kalah dalam 10 perlawanan serta hanya bolos sebanyak tiga gol.

Bertambah membanggakan, ketibaan mereka turut disambut Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin yang cukup berbangga atas kejayaan bersejarah Malaysia.

Selain menewaskan Korea, Malaysia membelasah Brunei 8-0 serta Guam, 13-0 dan seri dengan pasukan tuan rumah, Laos, 1-1 untuk memungut 10 mata dan meletakkan Korea sekadar berada di tempat kedua.

Menjelang pusingan akhir yang akan diadakan di Bangkok pada Oktober depan, Balachandran berkata, dia mahu menekankan aspek kekuatan fizikal sebagai agenda utama supaya mereka mampu bersaing dengan pasukan-pasukan lain.

Namun, dalam masa sama dia enggan meletakkan sasaran sebagai antara empat pasukan terbaik di Piala AFC Bawah 16 yang membolehkan Malaysia layak ke Piala Dunia Bawah 17 tahun di Chile kerana perlu melihat kekuatan pasukan lain terlebih dahulu.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan