MADRID - Pengendali Barcelona, Gerardo Martino berterusan memuji
impak yang dicetuskan gandingan Neymar-Lionel Messi ketika mengatasi
Sevilla 3-2 dalam aksi Liga Sepanyol di Stadium Nou Camp, awal pagi
semalam.
Martino berkata, senario positif itu jelas menutup mulut pengkritik
yang sebelum ini menyangka gandingan kedua-dua penyerang berkenaan
pastinya 'tidak meletup'.
"Ia hanya satu kebimbangan yang tidak berasas.
"Selepas aksi berdepan Atletico Madrid dalam kempen Piala Super
Sepanyol, saya sudah tahu Neymar pastinya cukup serasi apabila
digandingkan dengan Messi.
"Lihat sahaja pertemuan ketika berdepan Sevilla apabila Messi mudah menyempurnakan hantaran Neymar.
"Selagi kami berupaya beraksi sebagai satu pasukan, keupayaan individu setiap pemain pastinya lebih menyerlah," kata Martino.
Dalam perlawanan itu, Messi berjaya menjaringkan gol kedua The
Catalan apabila tenang menyempurnakan hantaran Neymar pada minit ke-75.
Sebelum itu, Daniel Alves membuka tirai jaringan tuan rumah pada minit ke-36.
Namun, skuad kendalian beliau dilihat cemas seketika apabila Sevilla
kembali bangkit menyamakan kedudukan 2-2 menerusi jaringan Ivan Rakitic
dan Coke pada penghujung babak kedua sebelum Alexis Sanchez
menyelamatkan maruah Barcelona apabila meledak gol kemenangan pada masa
kecederaan.
"Sanchez tidak perlu menjaringkan gol untuk membuktikan kemampuannya.
"Saya lihat dia cukup yakin dan cergas dan saya amat menghargai sumbangannya terhadap pasukan," kata Martino. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan