Rabu, 11 September 2013

KL Gangster 2 sedia masuk pawagam



KL GANGSTER 2 akan menjengah pawagam pada 3 Oktober depan.


SEWAKTU Kosmo! menantikan sutradara terkenal, Datuk Yusof Haslam untuk sesi temu bual, beliau mendapat panggilan telefon daripada seorang kenalan di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Panggilan itu ekoran penayangan filem KL Gangster 2 secara haram di sebuah pusat beli-belah di sana dan atas sebab itu Yusof meminta agar tindakan segera diambil terhadap premis tersebut untuk mengelakkan perkara menjadi lebih serius.

“Apabila diminta untuk menghentikan tayangan, kenalan saya didatangi sekumpulan gengster pula sampai melarat ke balai polis. 

“Ingin saya ingatkan, jangan mengambil tindakan tidak bijak untuk menayangkan filem KL Gangster 2 secara haram. Jangan berkompromi atau menjual DVD atau VCD cetak rompak!” tegas Yusof yang ditemui usai tayangan perdana filem KL Gangster 2 di One Utama, Petaling Jaya, Selangor kelmarin.
Yusof menjelaskan, sejak isu ketirisan filem arahan anaknya, Shamsul Yusof itu beberapa minggu sebelum ini, dia tidak putus-putus dihujani panggilan telefon bertanyakan situasi sebenar.

Kontroversi berantai

Untuk memujuk hati kata Yusof, filem KL Gangster 2 yang telah tersebar lebih awal itu baru 50 peratus sempurna dari segi pasca produksi termasuk skala warna dan kesan visual khas.

“Perkara yang telah berlaku merupakan satu ujian dan hidup ini tidak mudah. Sepanjang dua tahun filem ini menjalani pembikinan, pelbagai krisis timbul dan saya fikir tempoh suntingan lebih lapan bulan memang berbaloi dan memuaskan hati,” ujarnya.

Krisis anak bapa (antara Yusof dan Shamsul), ketirisan filem dan terbaharu, kontroversi skandal Adi Putra, bagi Yusof merupakan cabaran terbesar sepanjang pembabitannya dalam industri perfileman.

“Hidup ini perlu cekal dan inilah cabaran. Sukar untuk menduga sambutan filem apabila masuk panggung, mungkin ada filem yang dirasakan laku tapi akhirnya tak jalan. Saya terima ketentuan Allah,” katanya yang menjelaskan siasatan mencari dalang terbabit kes ketirisan filem KL Gangster 2 masih berlanjutan.
DATUK YUSOF HASLAM mewakili anaknya, Syamsul Yusof selaku pengarah KL Gangster 2. Yusof turut menasihati anaknya, Syamsul yang merancang untuk berhenti mengarah kerana kecewa filemnya dibocorkan di internet.


Syamsul berhenti mengarah
Dalam pada itu, Yusof turut memberikan respons terhadap tindakan Shamsul yang enggan menghadiri tayangan perdana KL Gangster 2 mahupun mengulas mengenai isu yang berlaku.

“Saya nampak usaha seorang anak muda yang bertungkus lumus dan sangat ghairah menghasilkan filem, namun apabila filemnya dirompak sebegini dia patah hati dan saya faham dia sukar menerimanya.

“Dia pernah menyatakan dia merajuk dan saya khuatir dia enggan menghasilkan filem lagi selepas ini. Saya menjadi tidak keruan tapi saya sebagai bapa perlu tunjukkan keberanian di hadapan anak-anak saya.

“Adalah suatu kehilangan besar industri dan saya orang paling kecewa jika betul dia mahu tarik diri dari dunia seni. Saya harap dia tidak silap perhitungan dan jangan kecewa kerana industri ini sentiasa menyokongnya,” kata Yusof.

Yusof menjanjikan kepuasan luar biasa kepada penonton yang memilih untuk menyokong KL Gangster 2 di pawagam. 

Katanya, filem ini menjanjikan kualiti dan kesan khas yang tidak pernah ditampilkan filem-filem tempatan sebelum ini.

Beliau menjelaskan sebab filem KL Gangster 2 mengadakan tayangan perdana tiga minggu lebih awal daripada tarikh tayangan (3 Oktober 2013) berikutan mahu memberikan ruang untuk malam gala sebuah filem tempatan yang membabitkan pelakon sama iaitu Aaron Aziz.

“Sepatutnya tayangan perdana KL Gangster 2 diadakan pada hari Khamis (12 September) tapi tarikh itu bertindih dengan malam gala sebuah filem lakonan Aaron Aziz.

“Lagipun, mengikut tradisi filem-filem saya sebelum ini, tayangan perdana memang dilaksanakan sebulan atau tiga minggu lebih awal daripada tarikh tayangan,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan