PARA pemain The Red Warriors diingatkan supaya melupakan isu
perpindahan pemain pasukan berkenaan yang sedang hangat diperkatakan
sejak kebelakangan ini, lapor YATIMIN ABDULLAH.
Kapten Kelantan, Mohd. Badhri Radzi sebaliknya mahu rakan-rakan
sepasukan memberikan tumpuan sepenuhnya pada perlawanan hidup mati
menentang Terengganu pada saingan peringkat kumpulan kempen Piala
Malaysia 2013 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu
malam esok.
Mohd. Badhri berkata, berdepan dengan seteru tradisi itu, mereka
perlu menang jika mahu memastikan peluang mereka mara ke pusingan
seterusnya kembali cerah.
"Saya harap rakan-rakan sepasukan tidak terlalu memikirkan soal
perpindahan pemain yang sedang hangat diperkatakan, sebaliknya fokus
terhadap kempen Piala Malaysia.
"Saya akui isu ini mungkin menganggu emosi rakan-rakan sepasukan. Apa
cara sekali pun kita harus menang dan saya tidak mahu penyokong
menganggap isu perpindahan pemain menjadi punca kekalahan Kelantan pada
perlawanan tersebut," katanya ketika dihubungi di Kota Bharu semalam.
Dia turut mengingatkan rakan-rakan sepasukan supaya tidak mengambil
mudah kemampuan Terengganu yang diperkuatkan dengan beberapa tonggak
utamanya iaitu Asahari Samsudin, Abdul Manaf Mamat, Jean Effa Owana dan
G. Puaneswaran.
Sebelum ini Kosmo! melaporkan, sebuah pasukan yang kini bersaing
dalam Piala Malaysia didakwa terlibat dengan perjanjian 'pintu belakang'
untuk memancing tiga tonggak utama pasukan The Red Warriors.
Menurut sumber, pasukan tersebut telah melakukan perjanjian dengan
tiga pemain terbabit bagi mencapai misi mereka untuk menjadi juara dalam
saingan Liga Malaysia musim depan.
Mengulas peluang pasukannya dalam saingan Piala Malaysia musim ini,
Mohd. Badhri tetap optimis Kelantan mampu melangkah ke pusingan
seterusnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan