Isnin, 30 September 2013

Roma pertahan rekod bersih


PEMAIN-PEMAIN Roma meraikan kejayaan pasukan itu membelasah Bologna 5-0 pada aksi Serie A di Stadium Olimpik, Rom awal pagi semalam.


MILAN - AS Roma mempertahankan rekod tanpa kalah selepas membelasah Bologna 5-0 pada aksi Serie A di Stadium Olimpik, Rom awal pagi semalam.

Kemenangan besar tersebut meletakkan skuad bimbingan Rudi Garcia itu di kedudukan teratas liga selepas mengumpul 18 mata, dua mata di depan pencabar terdekat iaitu Napoli dan Juventus.

"Kami mahu beraksi semula di pentas Eropah seperti mana pasukan hebat lain iaitu Napoli dan Juventus.

"Namun, kemampuan sebenar kami hanya akan diuji sebaik bertemu kedua-dua pasukan itu.
"Buat masa ini, masih terlalu awal untuk berasa selesa kerana mereka hanya ketinggalan dua mata di belakang kami," kata Garcia.

Pada perlawanan itu, Alessandro Florenzi meletakkan Roma di depan seawal minit kelapan sebelum Gervinho menggandakan kelebihan 10 minit kemudian.

Mehdi Benatia menjaringkan gol ketiga pada minit ke-25 sebelum Gervinho memastikan Roma berada di kedudukan selesa pada minit ke-62.

Pemain gantian, Adem Ljajic akhirnya melengkapkan kemenangan bergaya Roma apabila menjaringkan gol kelima pada minit ke-85.

Lebih manis, jaringan itu hadir pada hari jadi Ljajic yang ke-22.

"Ljajic cukup yakin setiap kali beraksi, dia tidak melepaskan peluang menjaringkan gol.
"Sudah tentu dia ada melakukan beberapa kesilapan kerana belum cukup matang tetapi saya gembira apabila dia berjaya memanfaatkan peluang," kata Garcia. - AP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan