LONDON - Akhbar Britain semalam melaporkan, Arsenal dan Liverpool
sedang mempertimbangkan untuk memancing bintang penyerang bermasalah,
Mario Balotelli pada pasaran perpindahan pemain, Januari ini.
Laporan di Itali sudah tersebar luas bahawa Balotelli, yang mencetus
kontroversi sepanjang beraksi di Manchester City dikatakan bersedia
untuk dilepaskan oleh kelabnya sekarang, AC Milan dengan harga 12 juta
pound (RM62.49 juta).
Sekiranya Milan meneruskan hasrat mereka, pemain antarabangsa Itali
itu dikhabarkan berminat untuk berkongsi pasukan bersama seorang lagi
penyerang kontroversi, Luis Suarez di Liverpool.
Biarpun diakui antara penyerang paling berbakat pernah dimiliki
Itali, namun sikap panas baran Balotelli, 23, sering menimbulkan banyak
masalah kepada mana-mana kelab yang diwakili.
Tahun lalu, dia bergaduh dengan pengendali City, Roberto Mancini pada
sesi latihan, situasi yang membawa kepada penjualan pemain itu.
Balotelli juga sering memberi masalah kepada pasukannya apabila kerap
dilayangkan kad merah kerana membantah keputusan pengadil.
Sikap buruk pemain itu tidak berakhir sekali pun selepas dia
menyertai pasukan baharu, Milan. Minggu lalu, bekas penyerang Inter
Milan itu dilayangkan kad merah selepas membantah keputusan pengadil
ketika pasukannya kalah 1-2 kepada Napoli. - AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan