LONDON - Pemain Manchester United, Marouane Fellaini percaya pasukan
baharunya itu masih memiliki keupayaan untuk mengekalkan kejuaraan Liga
Perdana England pada musim ini.
Bintang Belgium itu muncul pemain kelima termahal dalam sejarah
United sebaik melengkapkan perpindahan dengan yuran sebanyak £27.5 juta
(RM142 juta) dari Everton pada minggu lalu.
Kini, Fellaini yakin bahawa United yang memenangi kejuaraan liga
dengan kelebihan 11 mata pada musim lalu, masih berupaya mencabar kuasa
besar Chelsea dan Manchester City dalam mengekalkan kejuaraan musim ini.
"Ia menjadi satu perkara sukar, setiap tahun adalah cabaran hebat
buat pasukan besar tetapi saya fikir United memiliki kualiti untuk
memenangi kejuaraan liga.
"Paling mustahak bagi saya adalah memenangi trofi dan beraksi lebih kerap bersama United," kata Fellaini.
Fellaini percaya beliau dapat menyesuaikan diri di Old Trafford
dengan cepat namun dia dijangka bakal berjuang untuk merebut posisi
dalam kesebelasan utama United.
Buat masa ini, Michael Carrick dan Tom Cleverley menjadi pilihan
utama pengurus United, David Moyes manakala Anderson, Phil Jones dan
Ryan Giggs muncul sebagai pemain alternatif kedua.
Tambah Fellaini: "Satu langkah yang besar untuk saya namun saya telah
beraksi di England selama lima tahun. Saya mengenali liga ini dan saya
tahu cara persembahan pemain di sini.
"Saya tidak fikir bahawa saya akan berdepan masalah nanti untuk beraksi bersama United." - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan