KETUA pasukan Harimau Muda, Mohd. Irfan Fazail bertekad menghadiahkan
trofi kejuaraan Pestabola Merdeka 2013 yang bermula hari ini di
Kuantan, Pahang kepada seluruh rakyat Malaysia sempena sambutan
kemerdekaan negara ke-56.
Irfan (gambar kecil), 22, yang merupakan tonggak tengah skuad
Harimau Muda negara kendalian Ong Kim Swee itu mengakui pasukan negara
berada dalam prestasi terbaik ketika ini.
Katanya, para pemain akan berjuang bermati-matian bagi memastikan
Malaysia menjulang trofi Pestabola Merdeka buat kali ke-10 sejak ia mula
dipertandingkan pada 1957.
"Sememangnya saya bersama rakan sepasukan bertekad menghadiahkan trofi kejuaraan kali ini buat seluruh rakyat Malaysia.
"Kejohanan ini ada magisnya tersendiri kerana diadakan sempena bulan
kemerdekaan negara dan kami berharap semangat kental para pejuang negara
dapat dihayati pemain ketika menentang Singapura nanti," katanya kepada
Kosmo! semalam.
Menyentuh pertemuan dengan Singapura petang ini, Irfan berkata, dia
sedar tugasan berat menanti pasukan Harimau Muda kerana skuad kendalian
V. Sundramoorthy itu yang dibarisi sebahagian besar pemain Lions XII
sangat mantap di setiap posisi.
Bagaimanapun, jelasnya jurulatih negara sudah ada strategi tersendiri
untuk memerangkap skuad Singa itu yang pasti mempertaruhkan beberapa
pemain tonggak seperti Hariss Harun, Fazrul Nawaz, Shahfiq Ghani dan
Izwan Mahbud.
Sementara itu, penyerang, Md. Rozaimi Ab. Rahman berharap akan
mendapat tempat dalam kesebelasan utama negara dalam perlawanan bertemu
skuad negara jiran itu.
Katanya, dia mahu membalas kepercayaan yang diberikan oleh jurulatih
dengan menjaringkan gol serta membantu kemenangan buat pasukan negara.
"Jika diberi peluang, saya berazam membuktikan kemampuan sebenar.
Saya sudah tidak sabar untuk turun bagi menyarung jersi negara dan
menghadiahkan kejuaraan Pestabola Merdeka ini buat seluruh peminat bola
sepak tanah air.
"Saya berharap para peminat membanjiri Stadium Darulmakmur bagi
membakar semangat kami dan kami janjikan aksi terbaik buat mereka,"
katanya.
Selepas bertemu Singapura, skuad negara akan menghadapi dua lagi aksi
menentang lawan kental iaitu Myanmar pada Isnin dan Thailand (Rabu).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan