"HANYA satu prosedur biasa."
Itu cerita ringkas pengendali Perak, Mohd. Azraai Khor Abdullah
selepas selesai memberikan keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia (SPRM) di Bandar Meru Raya, Ipoh kelmarin.
Meskipun dikatakan mengambil masa sehingga lapan jam apabila hanya
selesai memberikan keterangan kira-kira tengah malam, Azraai kekal
tenang dan mengakui tidak tertekan dengan situasi itu.
"Ia mengambil masa yang agak lama tetapi itu perkara biasa... saya
perlu menjelaskan banyak perkara terutamanya mengenai kesebelasan pemain
dalam perlawanan tertentu dan sebagainya.
"Kini, segala-galanya terserah kepada SPRM," katanya kepada Kosmo! semalam.
Polemik mula tercetus dalam kalangan peminat fanatik skuad Seladang
ekoran tindakan drastik Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) membekukan
khidmat Azraai, pegawai dan petugas pasukan itu berkuatkuasa Isnin lalu.
Ia gara-gara pihak PAFA mengesyaki wujudnya isu rasuah dan sabotaj
dalam skuad Seladang selepas tersingkir dalam kempen Piala Malaysia
musim ini terutamanya apabila dibelasah Sarawak 1-6 dalam aksi terakhir
Kumpulan D di Kuching pada 21 September lalu.
Mengulas lanjut, Azraai memberitahu, beberapa lagi pemain Perak juga
telah diambil keterangan masing-masing oleh SPRM semalam bagi membantu
siasatan.
"Saya tidak tahu bila siasatan akan selesai, cuma saya harap ia dapat diselesaikan segera," jelasnya.
Pada masa sama, Azraai juga menafikan fokus anak-anak buahnya kini terjejas teruk ekoran siasatan itu.
"Pemain tetap menjalani latihan seperti biasa," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan