|
SELANGOR terpaksa menelan hakikat betapa ‘Misi 33’ hanya tinggal mitos semata-mata.
Keputusan seri 1-1 dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium
Majlis Perbandaran Selayang malam tadi menyaksikan Gergasi Merah
menduduki tangga tercorot Kumpulan A apabila sekadar mengutip tiga mata.
Beraksi pada babak pertama perlawanan, Selangor mempamerkan
persembahan agresif dalam usaha mengintai kemenangan sulung pada kempen
Piala Malaysia musim ini.
Selangor hampir berjaya mendahului permainan apabila perancang,
Shukur Jusoh melepaskan rembatan, namun percubaannya sekadar melepasi
gawang gol ATM pada minit ke-12.
Gergasi Merah sekali lagi hampir berjaya memecahkan henteng
pertahanan The Gladiators hasil percubaan penyerang import, Francis
Forkey Doe.
Begitupun, peluang terbaik Selangor itu gagal dimanfaatkan apabila
pemain veteran The Gladiators, Shukor Adan berjaya menghadang sepakan
deras Forkey Doe pada minit ke-25.
Sebaliknya, ATM menghukum keghairahan Selangor yang memburu jaringan
apabila penyerang berbisa, Marlon Alex James meledak gol pembukaan pada
minit ke-38.
Dua minit sebaik babak kedua bermula, Forkey Doe sekali lagi
memberikan ancaman kepada benteng pertahanan ATM tetapi tendangan pemain
kelahiran Liberia itu sekadar melewati palang gol tuan rumah.
Usaha gigih Forkey Doe memberikan tekanan kepada ATM akhirnya
berbaloi apabila dia bijak menyudahkan hantaran Fitri Shazwan pada minit
ke-69.
Jurulatih Selangor, P. Maniam gagal menyembunyikan kekecewaanya
apabila pasukan bimbingannya tersingkir awal dalam kempen Piala Malaysia
musim ini.
“Saya kecewa kerana kami tetap gagal mencatatkan kemenangan sulung,
lebih-lebih lagi kami telah tersingkir awal daripada saingan Piala
Malaysia.
“Apa pun, saya tetap berpuas hati dengan persembahan pasukan saya dan
ternyata tuah tidak memihak kepada Selangor pada musim ini,” ujarnya.
Di Stadium Shah Alam, Selangor PKNS muncul pasukan pertama mara ke
suku akhir kempen kali ini selepas membelasah T-Team 5-0 dalam aksi
Kumpulan B malam tadi.
Roman Chmelo dan Patrick Ronaldinho Wleh muncul wira The Red Ant
apabila masing-masing mencetak dua gol sebelum Mohd. Nizad Ayub
melengkapkan kemenangan bergaya tuan rumah apabila menjaringkan gol
kelima pada minit ke-87.
Dengan keputusan itu, skuad kendalian Abdul Rahman Ibrahim kini
mengutip 12 mata, tiga mata di depan pencabar terdekat, Johor Darul
Takzim (Johor DT) yang turut melakar kemenangan selesa 5-2 ke atas Felda
United dalam satu lagi aksi kumpulan di Stadium Majlis Perbandaran
Temerloh malam tadi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan