“KAMI (Selangor PKNS) main nak menang dan bukan nak kalah, Tiada pasukan suka kalah.”
Itulah amaran jurulatih PKNS, Abdul Rahman Ibrahim mengenai
perjuangan skuad kendaliannya pada aksi suku akhir pertama Piala
Malaysia 2013 menentang Pahang di Stadium Darul Makmur malam ini.
PKNS melangkah ke peringkat suku akhir dengan penuh bergaya apabila
muncul juara Kumpulan B selepas mengutip 15 mata sepanjang enam
perlawanan.
Rahman yakin pasukan berstatus kelab itu kini semakin ghairah untuk
meneruskan persembahan cemerlang dengan harapan untuk membenamkan
cabaran skuad Tok Gajah di gelanggang lawan.
“Kami tahu Pahang memiliki ramai pemain ternama berbanding kami.
“Bagi saya, beraksi di tempat lawan atau di laman sendiri adalah
perkara biasa. Kami akan cuba mencari jalan untuk melakar kemenangan di
sana.
“Saya lihat PKNS semakin meningkat dari tahun ke tahun. Sasaran untuk
melangkah ke suku akhir sudah dicapai, maka PKNS kini berazam untuk
mara ke separuh akhir pula,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Pengendali kelahiran Terengganu itu berkata, beliau tetap menghormati
keupayaan skuad kendalian Dollah Salleh, namun menuntut barisan
pemainnya agar tidak terlalu memandang rendah dengan skuad Tok Gajah.
“Seperti yang saya katakan tadi, semua pasukan akan berjuang
habis-habisan untuk memburu jaringan selesa sebagai bekalan untuk dibawa
ke suku akhir kedua nanti.
“Pahang adalah salah sebuah pasukan yang hebat di kempen Liga Super
dan saya cukup menghormati mereka. Kami akan berusaha mencari jalan
untuk menang dan selebihnya, ia bergantung kepada pemain-pemain sendiri.
“Yakin itu baik tetapi ia perlu berpada-pada. Saya tidak mahu
anak-anak buah saya terlalu menghormati atau terlalu memandang rendah
kepada Pahang.
“Ini kerana, sikap ini akan mengundang padah jika kami mengamalkan sikap sedemikian,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan