Ahad, 29 September 2013

Ramsey balas kepercayaan Wenger


Aaron Ramsey (kanan) membantu Arsenal menang 2-1 ke atas Swansea dalam saingan Liga Perdana Inggeris, semalam. - AGENSI 
 
SWANSEA, United Kingdom - Pengurus Arsenal, Arsene Wenger selama ini menegaskan, dia tidak pernah meragui keupayaan Aaron Ramsey untuk kembali ke prestasi terbaiknya, dan bintang tengah Wales itu membalas kepercayaan tersebut dengan membantu pasukan menang 2-1 di Swansea semalam, sekali gus meletakkan Gunners sebagai peneraju Liga Perdana Inggeris.

Ramsey, 22, sebelum ini terpaksa melupakan bola sepak selama lapan bulan gara-gara patah kaki ekoran terjahan keras yang dilakukan oleh pemain Stoke City, Ryan Shawcross pada Februari, 2010. Apabila pulih dan kembali ke padang, dia dipinjamkan kepada Nottingham Forest serta Cardiff City untuk mengembalikan semula keyakinan.

Ramsey mengambil sedikit masa untuk mendapatkan semula sentuhannya sebaik saja kembali ke Emirates, namun musim ini dia tampil bagaikan orang baharu apabila mempamer prestasi yang hebat, menjaringkan lapan gol dalam saingan liga dan Liga Juara-Juara. 

Menentang Swansea di Stadium Liberty semalam, Ramsey meledak satu gol dan mencipta gerakan untuk jaringan pembukaan yang disempurnakan pemain remaja Jerman, Serge Gnabry. 

“Ramsey masih muda. Hari ini dia dan Gnabry, dua pemain muda kami menjaringkan gol. Kalau dicampurkan umur kedua-dua pemain ini, baharu 40 tahun!.

“Kita kena ingat, karier Aaron pernah menerima tamparan akibat kecederaan teruk yang dialami. Selepas mengharungi detik yang buruk dan apabila orang ramai mula mempersoalkan kemampuannya, adalah amat penting untuk saya sentiasa memberi keyakinan kepada pemain ini.

“Kemudian, saya lihat dia mula menunjukkan respons daripada kepercayaan yang terus diberikan oleh pasukan kepadanya. Saya tahu dia mampu kembali ke prestasi terbaiknya suatu hari nanti, kalau kita terus meyakini kemampuannya," ujar Wenger. - AFP

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan