Ahad, 29 September 2013

United tiada taring - Moyes


Pemain Manchester United, Adnan Januzaj (kiri) diasak pemain West Bromwich Albion, Youssouf Mulumbu dalam saingan Liga Perdana Inggeris di Old Trafford, kelmarin. West Bromwich menang 2-1. - REUTERS
 
MANCHESTER - Pengendali Manchester United, David Moyes mengakui, jentera serangan pasukannya yang kurang menyengat menimbulkan kebimbangan besar dan menjadi punca mereka kalah mengejut 1-2 kepada West Brom di tempat sendiri pada perlawanan Liga Perdana Inggeris, kelmarin. 

Menurut Moyes, sejak mencatat kemenangan 4-1 ke atas Swansea City dalam aksi pembukaan liga, kebanyakan gol United diperoleh sama ada menerusi situasi bola mati atau gerakan yang berpunca daripada sepakan percuma dan sudut. 

Anak-anak buah Moyes gagal untuk menghasilkan gol daripada permainan terbuka, dan keadaan tersebut amat membimbangkan pengurus kelahiran Scotland itu, terutama selepas ia berulang lagi dalam pertemuan dengan West Brom.

Kekalahan kelmarin menyebabkan penyandang juara itu mencatat permulaan terburuk liga dalam sejarah kelab sejak 1989, malah sejak Moyes mengambil alih pasukan daripada Alex Ferguson, mereka telah mengalami tiga kekalahan musim ini.

“Saya sangat bimbang, bukan hanya kerana kami tidak bermain dengan baik (menentang West Brom) tetapi ada faktor lain yang menganggu pasukan daripada mencatat kemenangan. Ada banyak perlawanan lagi menunggu selepas ini, jadi kami harus segera memperbaiki kelemahan itu. 

“Masalah utama kami bukan kurangnya percubaan dibuat atau ketiadaan pemain penyerang dalam pasukan. Kami ada ramai penyerang, tetapi mereka tidak beraksi seperti yang diharapkan dan kami kena buat lebih baik daripada sekarang.

“Kami hilang faktor peledak yang boleh membawa pasukan ke atas, kalau benda itu ada ia sudah tentu membawa perbezaan. Kalau kami berjaya menghasilkan lebih gol, keadaan akan berubah. 

“Tiada persoalan lagi, West Brom memang berhak memenangi perlawanan ini," kata Moyes. 

Moyes sebelum ini merungut tentang kempen pembukaan United yang sukar apabila mereka terpaksa berdepan tiga kelab gergasi, Chelsea, Liverpool dan Manchester City dalam tiga daripada lima perlawanan pertama liga.

United seri tanpa jaringan dengan Chelsea di Old Trafford, sebelum kalah 0-1 kepada Liverpool dan dibelasah 4-1 oleh City. - AFP

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan