Jumaat, 6 September 2013

Felda United mahu siasat sendiri




FELDA United mempunyai sebab tersendiri untuk menarik balik kes melibatkan masalah disiplin pemainnya, Muhammad Kaironnisam Sahabudin Hussain, 34, yang sepatutnya dibincangkan oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Rabu lalu.

Setiausaha Agung Kehormatnya, Kamarruddin Mohamad berkata, ini kerana pihaknya mahu meneliti sendiri kes pemain itu yang didakwa tidak memiliki semangat kesukanan.

Katanya, pihaknya sendiri akan menjalankan prosiding dan siasatan terperinci bagi menilai ketelusan pemain itu yang kini direhatkan buat sementara waktu.

“Sepanjang penilaian dan pengamatan oleh pihak Felda, kami mendapati dia beraksi di bawah tahap kemampuan sebenar selain menganggapnya tiada semangat kesukanan.

“Memang benar, pada mulanya kami mahu kes ini diputuskan oleh pihak FAM tetapi kami bertindak menarik diri dua hari sebelum Mesyuarat Tatatertib diadakan.

“Ini kerana kami turut mengambil kira masa depan pemain itu yang sudah pada penghujung kariernya. Kami tidak mahu menjejaskan ‘periuk nasi’ pemain itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Bagaimanapun, katanya, jika kes tersebut gagal diselesaikan, pihaknya akan merujuknya kembali kepada FAM

Baru-baru ini, Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Taufek Abdul Razak hanya mendedahkan tiga daripada empat pertuduhan kes tatatertib dalam saingan Liga Malaysia.

Ia melibatkan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor didenda RM40,000 kerana gagal menyediakan kawalan keselamatan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin dan pemain Kuala Lumpur, Hafizie Roslee digantung enam bulan dan denda RM2,000 ekoran tiada semangat kesukanan pada aksi menentang Sime Darby, 17 Mei lalu.

Satu lagi kes melibatkan pertahanan Kelantan, Zamri Ramli yang digantung enam bulan atas kesalahan mengambil dadah jenis methamphetamine.

Sementara itu, Kamarruddin memberi amaran keras kepada pemain Felda agar tidak sesekali terjebak dengan skandal rasuah.

“Pemain harus tahu siapa yang bayar gaji mereka. Bermainlah dengan setimpal demi pihak yang membayar gaji mereka.

“Kita tidak teragak-agak untuk menghukum mana-mana pemain yang terjebak dengan gelaja rasuah kerana ia akan menjejaskan bola sepak negara,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan