MADRID - Penantian panjang Gareth Bale untuk membuat penampilan
sulung di Santiago Bernabeu berakhir dengan kekecewaan semalam, apabila
Real Madrid kalah mengejut 0-1 kepada Atletico Madrid dalam perlawanan
Liga Sepanyol.
Ini merupakan kekalahan pertama Los Blancos kepada musuh berjiran itu
dalam tempoh 14 tahun, sekali gus ditinggalkan dengan lima mata di
belakang dua pasukan teratas La Liga, Barcelona dan Atletico.
Bale sekadar memanaskan bangku simpanan pada awal permainan dan hanya
mampu melihat Koke melakukan hantaran untuk disempurnakan Diego Coasta,
bagi meletakkan Atletico mendahului 1-0 pada minit ke-11.
Pemain antarabangsa Wales itu kemudian dibawa masuk oleh Carlo
Ancelotti pada babak kedua, namun dia tidak mampu memberi impak besar
ketika Atletico mengekalkan rekod bersih 100 peratus pada kempen musim
baharu.
Atletico kini mengumpul 21 mata daripada tujuh perlawanan, hanya
dipisahkan dengan perbezaan gol di belakang Barcelona, yang turut
mencatat kemenangan ketujuh dengan menumpaskan Almeria 2-0, kelmarin.
Biarpun memulakan musim dengan cemerlang, namun Koke menegaskan,
Atletico masih belum memikirkan tentang kejuaraan kerana perjalanan liga
masih panjang.
"Kami sangat gembira dengan keputusan yang dicatat hari ini, ia adalah usaha bersama seluruh pasukan.
"Kami sedang mengharungi detik yang cemerlang dan mahu ia berterusan
begini. Pengurus memberi beberapa arahan dan kami berjaya menjaringkan
gol pembukaan dengan baik," ujar Koke.
Ketua pasukan Real, Sergio Ramos pula mengakui, pasukannya perlu
bangkit daripada kekalahan pertama musim ini dengan menunjukkan reaksi
yang tepat. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan