Khamis, 26 September 2013

Hernandez muncul wira United



HERNANDEZ meledakkan gol kemenangan 1-0 United ke atas Liverpool pada aksi pusingan ketiga Piala Liga di Old Trafford awal pagi semalam.


MANCHESTER, England - Penyerang Mexico, Javier Hernandez muncul wira Manchester United apabila meledakkan gol kemenangan 1-0 ke atas Liverpool pada aksi pusingan ketiga Piala Liga di Old Trafford awal pagi semalam.

Kekalahan itu turut memusnahkan impian penyerang Uruguay, Luis Suarez yang membuat penampilan pertama selepas menamatkan penggantungan sebanyak 10 perlawanan ekoran menggigit lengan pemain pertahanan Chelsea, Branislav Ivanovic pada aksi Liga Perdana England musim lalu.
Kehadiran Suarez dalam kesebelasan utama Liverpool tidak mampu untuk memberikan impak selepas Hernandez meledakkan gol kemenangan United pada minit ke-46.

Selain mengubati kekecewaan selepas dimalukan musuh sejiran, Manchester City 1-4, kemenangan anak-anak buah David Moyes turut menebus kekalahan 0-1 kepada Liverpool pada aksi Liga Perdana England musim ini.

Moyes memuji kebangkitan para pemain selepas membuat sedikit perubahan dalam kesebelasan utama pasukan itu.

Beliau memberikan peluang kepada pemain-pemain yang tidak beraksi di Stadium Etihad pada Ahad lalu seperti Shinji Kagawa, Nani dan Javier Hernandez untuk beraksi menentang Liverpool.
Pertaruhan Moyes berbaloi apabila Hernandez bijak menyambar bola hasil satu sepakan penjuru yang diambil Wayne Rooney.

"Kami telah berusaha sedaya upaya untuk memberikan persembahan yang terbaik pada aksi bertemu Liverpool selepas mempamerkan persembahan mengecewakan ketika bertemu City hujung minggu lalu.

"Kini, saya boleh anggap ia sebagai kebangkitan semula pasukan kami dan saya sangat berpuas hati dengan keputusan malam ini (semalam). Saya telah memberi peluang kepada beberapa pemain baharu untuk memberi satu kelainan dalam persembahan kami," kata Moyes.

Sementara itu, Moyes turut memuji persembahan bertenaga Hernandez yang menjaringkan gol kemenangan United itu.

"Sentuhannya sangat memukau ketika menghasilkan gol kemenangan itu. Itulah kualiti sebenar yang ada dalam diri Chicharito. Dia sangat bijak mencari ruang kosong," tegas Moyes. 

Sementara itu, impian Swansea City untuk mempertahankan trofi Piala Liga tidak kesampaian selepas tewas 1-3 kepada Birmingham City di Stadium St. Andrews.

Gol-gol kemenangan Birmingham diperoleh masing-masing satu menerusi Daniel Burn pada minit ke-57, Matthew Green (61) dan Tom Adeyemi (81), manakala gol sagu hati Swansea dijaringkan Wilfried Bony pada masa kecederaan.
- Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan